PEMAIN FELDA meraikan kemenangan ke atas TFC II malam tadi.
PEMAIN FELDA meraikan kemenangan ke atas TFC II malam tadi.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Maran: FELDA United bijak menggunakan peluang beraksi di halaman sendiri untuk mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super apabila mengalahkan Terengganu FC II (TFC II) 2-0 di Stadium Tun Razak, di sini malam tadi.

Skuad yang lebih dikenali sebagai The Fighters itu bermula garang dengan mula melakukan serangan sejak wisel permainan dibunyikan dan pada minit ke-4, Mohd Hadin Azman hampir menghasilkan gol pertama namun percubaannya menuju tepat ke dakapan penjaga gol pelawat Wan Mohd Azraie Wan Teh.

Asakan demi asakan yang dilakukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Mohd Hadin sekali lagi menjadi watak penting pada minit ke-30 dan dia mudah menjaringkan gol selepas berlaku situasi kelam kabut di depan gawang TFC II.

Tersentak dengan jaringan itu, TFC II cuba menggandakan serangan namun gol yang dicari tidak kunjung tiba dan kedudukan kekal 1-0 hingga tamat babak pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan TFC II kembali garang dengan melakukan serangan bertali arus ke kubu tuan rumah.

Pada minit ke-51, pelawat nyaris menyamakan kedudukan namun percubaan Patrick Dos Santos Cruz mudah dibaca penjaga gol The Fighters Mohd Farizal Harun.

Tuan rumah sesekali melakukan percubaan ke gawang lawan dan akhirnya pada minit ke-76, Mohd Hadin mengesahkan statusnya sebagai wira pasukan menerusi gol kedua.

Pelawat semakin tertekan dengan jaringan berkenaan ketika penyerang mereka tetap buntu mencari gol yang diperlukan untuk merapatkan kedudukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 8:44 AM