Mazizul Dani


Kuala Selangor: "Abang memang orang yang suka menolong orang, dia sebenarnya memang sudah biasa dengan kawasan ini."

Itu kata Jamaliah Abdul Latif, 24, adik kepada pencari siput, Abu Hassan Abdul Latif, 57, yang maut ketika cuba membantu mangsa nahas pesawat pengangkutan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) CN235 yang mendarat cemas di persisiran pantai di sini, pagi tadi.

Jamaliah berkata, dia mendapat berita kematian abangnya daripada pihak polis dan diminta untuk membuat pengecaman mayat.

"Saya terima panggilan kira-kira 11 pagi untuk pengecaman dan kami ke Hospital Tanjung Karang.

"Memang benar itu abang saya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian bersama ahli keluarga yang lain untuk mencari telefon bimbit abangnya.

Dia berkata, rakan yang mengenali abangnya juga ada menghantar gambar kepadanya menerusi Aplikasi Whatsapp.

Allahyarham yang masih bujang keluar pada waktu pagi untuk mencari siput sebelum pesawat berkenaan mendarat cemas pada 8.40 pagi.

Anak sulung daripada enam adik-beradik itu dipercayai meninggal dunia apabila lemas tersangkut di dalam lumpur di kawasan berkenaan.

Dalam kejadian itu, lapan anggota TUDM dilaporkan selamat dan hanya seorang mengalami kecederaan patah tangan kiri.

Operasi membawa keluar rangka pesawat sedang dilakukan dan dijangka mengambil masa sehingga tiga hari.

Pesawat itu menjalani latihan sebelum terpaksa mendarat cemas di kawasan laut kerana masalah di bahagian enjin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 4:41 PM
JAMALIAH (kiri) bersama ahli keluarga lain di lokasi kejadian sedang mencari telefon bimbit Allahyarham abang. FOTO Sairien Nafis
JAMALIAH (kiri) bersama ahli keluarga lain di lokasi kejadian sedang mencari telefon bimbit Allahyarham abang. FOTO Sairien Nafis