MOHD FIRDAUS.
MOHD FIRDAUS.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Mengambil peluang perkembangan teknologi media sosial kini yang semakin maju terutama dalam bidang perniagaan menjadi faktor utama anak kelahiran Pontian, Johor ini untuk turut sama memanfaatkan peluang yang ada.

Minat mendalam dalam bidang itu menjadi faktor pendorong kepadanya untuk memajukan diri dan kehidupannya.

Anak sulung daripada enam beradik, Mohd Firdaus Jamaludin, 33, memasang azam dan impian tinggi untuk bergelar jutawan dengan menjalankan perniagaan di Internet.

Menurut Mohd Firdaus, dia menyedari terdapat peluang yang besar diceburi terutama dalam perniagaan dalam talian.

“Sesiapa sahaja mampu menjalankan perniagaan mengikut pilihan sendiri asalkan mempunyai keyakinan dan kerajinan. Kini tanpa kedai pun kita boleh berniaga, tidak seperti dulu,” katanya.

Memegang prinsip ‘bermula untuk sempurna bukan menunggu kesempurnaan baru mahu bermula’ menjadikan dia sentiasa bersemangat merebut peluang.

“Dengan bergelar usahawan Internet dan menjalankan dua cabang perniagaan iaitu hiasan dalaman yang berunsurkan gambar kanvas serta fesyen diharap boleh menjadikan saya seorang usahawan berjaya,” katanya.

Tambah Mohd Firdaus, dia yakin sesiapa sahaja mampu berjaya dalam perniagaan asalkan menerapkan sifat positif dalam diri juga disiplin yang tinggi. Semua hasil produk Mohd Firdaus boleh dilihat di laman sesawang Facebook gambar kanvas dan Instagram @gambarkanvas

S: Adakah anda terbabit dalam bidang perniagaan secara atas talian disebabkan minat?

J: Ya, minat mendalam dalam dunia perniagaan menjadi penyebab utama saya terbabit dalam bidang ini walaupun banyak cabaran.

S: Jelaskan antara cabaran untuk bergelar usahawan Internet ini?

J: Bagi saya ada dua cabaran iaitu dalaman dan luaran. Cabaran dalaman ini merangkumi soal pengurusan diri, perniagaan, masa juga kewangan yang memerlukan ilmu mencukupi bagi mengatasinya manakala cabaran luaran adalah faktor ekonomi, keadaan semasa juga kenaikan harga yang berada di luar kawalan kita untuk mengatasinya.

S: Siapa yang memberi sokongan dan menjadi penguat semangat kepada anda untuk terus melangkah jauh dalam bidang ini?

J: Pastinya keluarga dan rakan terdekat.

S: Adakah pulangan yang diterima berbaloi?

J: Secara jujurnya ia terlalu subjektif dan ia bergantung kepada usaha usahawan itu sendiri. Saya sentiasa menerapkan empat formula 4D ini iaitu keinginan (desire), keputusan (decision), displin (discipline) dan kesungguhan (determination) selain yakin setiap dugaan itu hanyalah bersifat sementara.

S: Mengapa memilih perniagaan gambar kanvas?

J: Secara tradisinya, dulu kita pergi ke kedai gambar untuk mendapatkan gambar yang dicuci atau dicetak. Namun semakin hebat teknologi percetakan kini terdapat pelbagai kaedah lain untuk mengabadikan gambar kenangan. Gambar kanvas diilhamkan dengan trend yang melanda kini dan ia memberi idea kepada saya untuk memulakan perniagaan @gambarkanvas secara dalam talian.

Kami menawarkan pelbagai kaedah percetakan gambar antaranya di permukaan kayu, batu dan kanvas. Kebanyakan pelanggan gemar memilih kanvas kerana harganya jauh lebih murah dan mudah dari segi penjagaannya. Ia juga boleh ditempah dalam pelbagai saiz mengikut kehendak pelanggan dan bagi memudahkan pelanggan, saya juga menerima tempahan gambar melalui e-mel atau aplikasi WhatsApp.

S: Harapan anda dalam bidang ini?

J: Saya menyimpan hasrat menjadi mentor kepada individu yang mahu menceburi perniagaan dalam talian dan pastinya untuk bergelar jutawan Internet suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 11:43 AM