ADZIIM ingin menjadi tenaga pengajar suatu hari nanti.
ADZIIM ingin menjadi tenaga pengajar suatu hari nanti.
BERSAMA model dalam solekan pengantin.
BERSAMA model dalam solekan pengantin.
Siti Zarinah Sahib

Cantik daripada kaca mata lelaki tentunya berbeza dan membawa makna yang tersendiri. Jika dilakarkan di atas sekeping kertas, kecantikan itu bersifat subjektif dan tiada kayu pengukur yang ditetapkan ukurannya. Begitu wanita akan kelihatan berbeza dan berubah penampilan apabila dikenakan solekan terutama daripada mereka yang pakar.

Walaupun menggunakan alat solek yang sama namun penyudahnya tetap berbeza. Apatah lagi mereka yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini dan mendapat pendedahan meluas menerusi pelbagai pertandingan serta terbabit dalam pertunjukan pentas.

Bagi jurusolek profesional Wan Abdul Adziim Wan Jaafar, 27, penyertaan dalam pertandingan solekan dan andaman di seluruh Malaysia memberikan pengalaman berharga untuk memperbaiki tahap solekan. Namun untuk mencapai ke tahap ini dia melalui pelbagai fasa yang menjadikan dirinya lebih baik daripada dulu.

Ikuti temu bual dengan jurusolek yang boleh dianggap sebagai raja pertandingan solekan kerana pernah menyertai ratusan pertandingan bermula pada 2011 sehingga sekarang. Antaranya juara Ikon Muslimah 2013, The Beautiful of Muslimah dan Anugerah Andaman dan Busana Pesona Pengantin 2014/15.

Soalan (S): Boleh ceritakan bagaimana Anda memulakan kerjaya sebagai jurusolek?

Jawapan (J): Saya bermula dengan pertandingan solekan pada 2011 bertemakan solekan perkahwinan dalam taman dan diangkat sebagai juara. Saya langsung tidak menyangka ia detik permulaan bergelar jurusolek kerana saya tidak pernah mendapat pendedahan asas cuma menyertai kelas solekan untuk mencari pengalaman. Penyertaan dalam pertandingan hanya sekadar suka-suka bagi mencabar kebolehan diri dan bukannya untuk menjadi juara.

S: Siapa Adziim sebelum ini?

J: Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di Temerloh, Pahang dan hanya berkelulusan darjah enam. Dibesarkan dalam keluarga yang ramai dengan lapan orang adik-beradik menyebabkan ibu bapa tidak mampu menanggung persekolahan.

Namun saya tidak pernah menjadikannya sebagai halangan sebaliknya berusaha mencari pekerjaan dan bekerja dengan bersungguh-sungguh. Selama tiga tahun bekerja di restoran makanan segera saya banyak belajar mengenai komunikasi dan pemasaran.

Pada masa yang sama, saya sentiasa mencari peluang untuk belajar, selepas diperkenalkan dengan rakan yang juga jurusolek, saya menyertai kelas solekan kerana ia mampu menjana pendapatan. Kemenangan buat kali pertama itulah yang membuatkan saya yakin kerjaya ini mampu mengubah kehidupan. Lalu saya tekad berhenti kerja untuk bergelar jurusolek sepenuh masa.

S: Mengapa anda sering menyertai pertandingan solekan?

J: Saya suka mencabar diri dan menyertai pertandingan adalah satu cara meningkatkan keyakinan diri, yang secara tidak langsung membolehkan saya mempelajari seni solekan terkini. Ketika sesi solekan saya dapat belajar teknik solekan menerusi rakan jurusolek. Saya juga dapat mengenali lebih ramai jurusolek berpengalaman dan mendapatkan panduan daripada mereka. Kalah atau menang bukan keutamaan. Dalam setiap pertandingan saya cuba lakukan yang terbaik jika kalah sekalipun saya tahu di mana silapnya dan belajar memperbaikinya.

S: Apakah tarikan dalam setiap solekan yang anda tampilkan?

J: Saya akui jurusolek mudah menempa nama sekiranya mampu menghasilkan solekan yang bukan saja disukai ramai tetapi juga kelihatan kemas, bersih dan semula jadi. Untuk itu rona semula jadi antara yang menjadi pilihan dan menerusi sentuhan serta teknik olesan, ia mampu memberikan kesan menyerlah.

Paling penting adalah mengikut konsep terutama untuk mempelai. Saya banyak belajar menerusi YouTube, majalah dan selebihnya dengan jurusolek berpengalaman. Saya juga mendapat inspirasi solekan dari Indonesia kerana ia kelihatan lebih versatil dan menyerlah.

S: Apa pandangan anda mengenai lelaki sasa menjadi jurusolek?

J: Sekarang sudah ramai lelaki menjadi jurusolek sepenuh masa dan solekan mereka tampak lebih hebat dan berbeza berbanding sentuhan jurumekap wanita. Ini kerana kami melihat daripada kaca mata lelaki kekurangan dan kelebihan pada wajah wanita lantas menutup kekurangan dengan olesan warna alat solek.

Kehadiran jurusolek lelaki juga bukan ingin menyaingi sesiapa sebaliknya memeriahkan industri. Saya juga ingin membuktikan lelaki ‘sado’ juga boleh menyertai bidang ini.

Untuk tampil berbeza saya menggunakan tanda pengenalan Superman seperti memakai kemeja-T Superman dalam setiap pertandingan yang disertai. Ia sebagai menyatakan kehadiran saya sebagai jurusolek dan semoga ramai mengingatinya.

S: Apakah impian anda?

J: Saya masih baru dalam bidang ini. Selama enam tahun berkecimpung dalam bidang solekan masih banyak perkara yang perlu saya pelajari. Ilmu solekan sangat luas dan saya tidak mahu berhenti belajar setakat ini sahaja. Saya akan terus menimba pengalaman menerusi pertandingan solekan.

Pada masa sama dengan pengalaman ini saya mahu menjadi tenaga pengajar dan membuka akademi saya sendiri. Saya mahu mencurahkan ilmu kepada anak muda yang berminat menambah kemahiran terutama yang tidak mampu belajar sehingga ke peringkat universiti. Saya ingin membuktikan tanpa sijil atau ijazah seseorang itu boleh berjaya asalkan tahu apa yang mereka inginkan dan berusaha mencapainya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 12:55 PM