FOTO anggun model hasil sentuhan Steven Klein.
FOTO anggun model hasil sentuhan Steven Klein.
NARS tampil kolaborasi menarik bersama jurufoto terkenal dunia, Steven Klein.
NARS tampil kolaborasi menarik bersama jurufoto terkenal dunia, Steven Klein.
KOLEKSI istimewa NARS Steven Klein ini menampilkan palet warna pesta hujung tahun dengan lorekan mata galak.
KOLEKSI istimewa NARS Steven Klein ini menampilkan palet warna pesta hujung tahun dengan lorekan mata galak.
SEBAHAGIAN daripada himpunan tumpunan bagi koleksi NARS Steven Klein.
SEBAHAGIAN daripada himpunan tumpunan bagi koleksi NARS Steven Klein.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Fotografi. Fesyen. Kecantikan. Kuasa. Tenaga. Semua rencah menarik yang merangkumi kolaborasi unik ini.

Kolaborasi antara jenama kosmetik dunia dengan label fesyen popular bukan perkara luar biasa.

Lazimnya gabungan seperti ini menghasilkan ledakan koleksi terhad dan eksentrik.

Namun di NARS, kolaborasi antara pengasasnya, Francois Nars dan jurufoto fesyen popular, Steven Klein lebih kepada kombinasi dua nama ikonik dalam industri fesyen serta kecantikan.

“Steven antara jurufoto fesyen ikonik yang hasil kerjanya memukau industri. Hasil kerjanya sama sekali menentang peraturan fotografi menarik dan penuh provokasi.

“Ia tiada sempadan dan mencetuskan pelbagai reaksi. Saya sukakannya. Steven benar-benar merangkumi semangat NARS,” komen Nars mengenai teman lamanya itu.

Bagi Klein, kerjasama yang baik dengan Francois Nars sejak dulu menjadi antara faktor kepada kolaborasi ini.

“Saya sentiasa mengagumi kerja Francois. Dia perintis kepada perubahan daripada seorang jurusolek terbaik dunia kepada pengasas jenama solekan ternama dunia.

“Saya teruja dengan kolaborasi ini di mana kempennya menggunakan foto saya dan berpeluang menyertai industri kosmetik ini,” kata Klein.

Koleksi istimewa NARS Steven Klein ini menampilkan palet warna pesta hujung tahun dengan lorekan mata galak bersama lakaran lembut garisan lurus dan semula jadi pada kening.

Dalam kempen ini, kulit terlebih dulu dioles dengan pelembap NARSskin Aqua Gel Oil-Free dan krim mata Total Replenishing, disusuli primer Pore Refining untuk menghasilkan ton kanvas wajah yang seimbang.

Bedak asas Mont Blanc All Day Luminous Weightles pula digunakan dan ditambah dengan sedikit penyamar cela Radiant Creamy lalu disapu bedak debu Snow Soft Velvet pada seluruh wajah.

Riasan pipi kemudian menggunakan Vengeful Dual-Intensity yang menampilkan rona batu bata sementara solekan mata menyerlahkan penggunaan pembayang mata Never Too Late (hijau tentera) diikuti palet Dual-Intensity yang boleh digunakan sama ada dalam keadaan kering atau basah.

Bibir pula terarah kepada sapuan menarik daripada himpunan Killer Shine edisi terhad yang menampilkan warna sofistikated dan berani.

Ia disudahi dengan pengilat bibir Killer Shine dengan kemasan vinil (vinyl) dan penuh kemilau.

3 SOALAN BERSAMA FRANCOIS NARS

SOALAN (S): Apa yang membuatkan hasil kerja Steven Klein diangkat sebagai ikonik dalam dunia fesyen?

JAWAPAN (J): Cara dan kaedahnya agak mengejutkan. Ia penuh tenaga, ‘edgy’ dan sensual. Wujud visi sebenar dalam kerjanya. Dia berjaya merakam momen sinematik dengan penggunaan warna dan pencahayaan, sama seperti cita rasanya dalam fesyen.

S: Apakah elemen visi peribadi yang anda kongsikan bersama Steven Klein?

J: Kami berdua mempunyai dunia tersendiri dan sukakan sesuatu yang pelik atau ganjil. Saya dan Steven tertarik kepada kecantikan unik.

Sesuatu yang tidak begitu ketara, biasa, terlalu cantik dan terlalu menarik. Kami sukakan sesuatu yang tidak diduga. Sesuatu yang berbeza. Aneh.

S: Bagaimana proses kreatif kolaborasi ini berlangsung?

J: Saya tertarik dengan pelbagai imej yang dihasilkan Steven. Kami meneliti satu demi satu daripada ratusan foto yang ada. Saya bekerja dengan Steven dan Fabien Baron untuk mencari jalan cerita yang dapat menampilkan sepenuhnya hasil kerja Steven.

3 SOALAN BERSAMA STEVEN KLEIN

S: Apa yang menjadikan Francois Nars diangkat sebagai ikon dalam dunia kecantikan?

J: Tidak ramai yang dapat melakukan sama seperti apa yang dihasilkan Francois. Dia mempunyai cita rasa tinggi dan sentiasa teguh dengan hasil kerjanya.

S: Adakah anda menjangkakan kolaborasi dengan NARS seperti ini?

J: Saya rasa bangga apabila diminta Francois untuk berkolaborasi dalam projek bersamanya terutama selepas melihatkan kerjasamanya dengan artis lain seperti Andy Warhol dan Guy Bourdin.

S: Apakah yang membuatkan kolaborasi ini berjaya daripada perspektif anda?

J: Kami saling memahami. Francois mempunyai daya kefahaman tinggi mengenai warna dan kami bersama-sama berjaya mencipta koleksi yang me­ngagumkan menggunakan imej daripada kerja saya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 10:03 AM