TAN (kanan) bersama Dzulkifli ketika melawat pameran Cafe Malaysia 2016.
TAN (kanan) bersama Dzulkifli ketika melawat pameran Cafe Malaysia 2016.
PAMERAN turut mengetengahkan mesin dan kelengkapan pembuatan minuman kopi dan teh.
PAMERAN turut mengetengahkan mesin dan kelengkapan pembuatan minuman kopi dan teh.
SENI latte antara yang diketengahkan dalam pameran.
SENI latte antara yang diketengahkan dalam pameran.
ANTARA pengunjung yang melawat tapak pameran.
ANTARA pengunjung yang melawat tapak pameran.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Keunikan dan cara menghidang teh dan kopi kini sudah banyak berbeza berbanding dahulu kerana melangkaui batas teknologi dan rasa.

Dahulu kopi dibancuh menggunakan serbuk kopi kisar yang dicampur gula dan susu sebelum dituang air panas dan dikacau. Begitu juga cara membancuh teh.

Kini, ada pelbagai jenis air kopi dan teh yang dibancuh menggunakan teknologi, teknik dan campuran pelbagai bahan.

Ini menyebabkan minuman itu turut dihidangkan di restoran mewah dan digemari golongan muda berbanding sebelumnya dikaitkan sebagai minuman bertaraf warung yang biasanya diminum warga emas.

Antara minuman yang kian mendapat perhatian ialah kopi latte, karamel machiato dan mocca manakala teh pula lebih banyak gabungan rasa seperti coklat, tembikai susu dan vanila.

Jika dulu dibancuh menggunakan cawan dan sudu, kini penggunaan mesin pembancuh mampu menghasilkan buih dan efek lebih halus.

Akibat perkembangan teknologi dan percampuran budaya yang lebih meluas, akses untuk mendapatkan teh dan kopi kini lebih mudah.

Tidak hairanlah ramai berminat menjadi usahawan kopi dan teh selepas mengunjungi pameran mengenai minuman itu.

Ini terbukti apabila 110 peserta menyertai Cafe Malaysia 2016 yang menampil­kan pemain industri kopi dan teh dari 13 negara.

Pameran di Matrade Exhibition & Convention Centre kali kedua itu diadakan selepas program sama pada Mei tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Pameran itu turut menghimpunkan pelbagai pemain industri seperti pengurus, pembekal, pengedar, pengeluar barangan berkaitan kopi dan teh.

Peniaga dan pengunjung turut berpeluang menemui pembekal mesin, kelengkapan dan bahan mentah untuk menghasilkan kopi dan teh di kafe dan restoran yang menawarkan minuman itu.

Ia juga menjadi landasan untuk menjalin hubungan perniagaan selain menyertai beberapa aktiviti yang disediakan.

Bagi ahli perniagaan, mereka berpeluang menyaksikan teknologi dan perkembangan terbaru di bengkel eksklusif, kelas dan demonstrasi yang dikendalikan pakar kopi dan teh.

Orang awam pula dapat mengenali pelbagai jenis kopi dan teh, selain melihat cara menghasilkan minuman berasaskan bahan berkenaan.

Pengurus Besar Conference & Exhibition Management Services Pte Ltd (CEMS) Steven Tan selaku penganjur Cafe Malaysia 2016 berkata, pameran itu usaha positif untuk meningkatkan industri kopi dan teh.

“Kami gembira menjadi tuan rumah kepada 110 peserta dari 13 negara. Pameran kafe dan kedai teh ini direka untuk mengumpulkan pemilik, pengurus, pengimport, pengeksport, pengedar, pembekal jentera, peralatan dan bahan mentah kafe dan kedai teh.

“Cafe Malaysia berfungsi sebagai platform dinamik untuk pembuat keputusan utama bagi mendapatkan sumber keperluan kafe masing-masing serta meneroka kerjasama dan peluang baru,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Dzulkifli Mahmud.

Selain pameran dan jualan, tiga pertandingan turut diadakan iaitu Malaysia Brewer’s Cup 2016, Malaysia Latte Art 2016 dan Malaysia Barista Championship turut menjadi tumpuan utama program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 11:25 AM