WARNA gelas turut mempengaruhi rasa suatu hidangan disajikan. - FOTO Google
WARNA gelas turut mempengaruhi rasa suatu hidangan disajikan. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


DALAM satu kajian turut menerangkan terdapat elemen lain yang menyumbang rasa enak ketika menikmati minuman panas.

Bukan sahaja kemahiran membancuh dan menganggarkan jumlah gula, malah serbuk minuman, suhu dan jumlah air digunakan juga perlu betul ketika menyediakan minuman. Pada masa sama, penggunaan warna gelas tertentu juga penting.

Antara penemuan unik oleh barista dari Australia menyatakan peminum kopi tegar berasa lebih menyukai kopi dihidangkan dalam gelas berwarna putih kerana ia dirasakan lebih pahit.

Malah ia juga menjadi kajian kepada pakar psikologi Monash University Melborne, Australia apabila menjalankan penyelidikan terhadap kesan penggunaan warna gelas berbeza dengan rasa kopi.

Dalam ujian kepada 36 peserta yang mencuba sampel daripada tiga gelas berbeza iaitu putih, biru dan lutsinar mendapati kopi dalam gelas putih lebih pahit serta pekat rasanya.

Penemuan ini berdasarkan kadar intensiti dinilai peserta dari empat aspek iaitu tahap pahit, tahap manis, kepekatan (kaw) dan aroma.

Pada ujian kedua bagi ujian sama untuk sajian minuman latte pula, peserta mendapati rasa latte dalam gelas biru lebih manis berbanding latte yang dibancuh daripada gelas putih.

Ini memberi gambaran bagi peminum kopi sebenar, menyediakan hidangan itu dalam gelas berwarna putih lebih baik kerana meningkatkan visual pengalaman menikmati sajian kopi yang lebih 'pekat' atau 'kaw'.

LATTE dirasakan lebih manis jika menggunakan gelas biru. - FOTO Google
LATTE dirasakan lebih manis jika menggunakan gelas biru. - FOTO Google

Tidak hairanlah sehingga kini kebanyakan jenama kafe terkenal kekal menyajikan minuman panas klasik itu dalam bekas minuman putih atau gelas potongan sederhana bagi memberi pengalaman minum yang lebih baik.

Selain kopi, teh juga mempunyai peraturan ringkas dalam seni penyediaannya. Dikatakan teh lebih wangi apabila dibancuh dalam teko porselin.

Dalam satu demonstrasi penyediaan teh oleh pengkaji makanan dari Britain, Dr Stuart Farrimond berkongsi tip mudah memanfaat nutrisi baik selain pengalaman minum lebih baik ialah dengan menggunakan gelas berwarna merah.

Menurut pakar itu, meskipun menggunakan jenama terkenal dan uncang teh dibancuh dalam cawan tahan panas, ia tidak dapat dibandingkan dengan menikmati minuman sama dalam gelas porselin atau berwarna merah.

"Selain menggunakan suhu yang betul untuk bancuh teh, gelas merah boleh memberi pengalaman lebih baik kepada peminum teh kerana otak akan menghantarkan isyarat teh sudah terasa manis dan lebih beraroma.

"Warna merah dikaitkan dengan elemen buah yang matang dan segar membuatkan teh dinikmati dalam gelas merah terasa manis dan beraroma. Tip lain dikongsikan ialah teh lebih baik jika dinikmati selepas lima minit disediakan," katanya.

Begitu juga untuk hidangan coklat panas dikatakan mempunyai rasa lebih enak jika dinikmati dalam kole berwarna perang atau kuning lebih terasa lebih lembut berbanding disediakan dalam gelas putih.

Helah mudah dalam penyediaan minuman panas boleh dilakukan menerusi hidangan menggunakan gelas tertentu bagi meningkatkan rasa atau pengalaman minum yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 6:39 AM