KEMPEN Magnolia Milk Mooves Malaysia 2015 dianjurkan sempena Hari Susu Sedunia 2015 yang menggalakkan budaya minum susu dalam kalangan masyarakat.
KEMPEN Magnolia Milk Mooves Malaysia 2015 dianjurkan sempena Hari Susu Sedunia 2015 yang menggalakkan budaya minum susu dalam kalangan masyarakat.

Susu amat penting untuk tumbesaran kanak-kanak dan menguatkan tulang bagi golongan dewasa terutama wanita agar dapat membantu mengelakkan masalah osteoporosis (tulang rapuh).

Susu juga disifatkan versatil kerana ia bukan saja boleh diminum tanpa memerlukan bahan tambahan, malah digunakan dalam kebanyakan hidangan.

Dianggarkan bermula tahun 9000 Sebelum Masihi lagi manusia mula minum susu bagi menjaga kesihatan tubuh badan. Malah, susu juga sumber nutrisi utama yang perlu diberikan kepada anak pada peringkat awal perkembangan tumbesaran mereka dan harus diamalkan sepanjang usia.

Bagi penggemar kopi, susu adalah ramuan sampingan yang membantu meningkatkan rasanya. Malah, pakar kopi sendiri menyifatkan susu kriteria penting menghasilkan secawan kopi seperti latte.

Setiap komponen susu iaitu protein, lemak dan laktosa memainkan peranan untuk mendapatkan secawan kopi atau latte yang sempurna.

Menurut Levi Asher, barista merangkap seorang daripada tiga yang memiliki sijil AST (Advanced Store Trained) di Barista Guild Asia, penggunaan susu berkualiti tinggi diperlukan menjaga kualiti latte yang dihasilkan.

“Saya dapati kopi makin digemari dalam kalangan masyarakat kita dan paling popular ialah latte, kapucino dan kopi susu.

“Wujud salah faham yang membuatkan ramai percaya bahawa espresso atau jenis biji kopi yang menjadikan tiga minuman ini berlainan sedangkan ia bergantung kepada nisbah susu dan buih dalam campuran kopi itu,” katanya.

Menerusi bengkel What Makes a Good Latte anjuran F&N Magnolia di Kejohanan Seni Latte 2015 yang berlangsung di Pusat Pameran Konvensyen Antarabangsa Matrade (MIECC) baru-baru ini, Levi menunjukkan empat langkah penting mendapatkan secawan latte yang baik dan memuaskan.

Paling diutamakan ialah susu dan cara yang betul untuk menggunakannya dalam minuman.

“Penggunaan susu bermutu tinggi boleh menghasilkan buih mikro yang konsisten pada seluruh latte lalu memberikan rasa kopi yang menyenangkan.

“Selain itu, ekstrak kopi perlu diambil daripada biji kopi segar bagi mengelakkan rasa asing pada latte.

“Pastikan susu juga segar dan disimpan sejuk pada suhu antara dua ke empat darjah Celsius,” ujarnya.

Bagaimanapun, sebaiknya panaskan dulu susu antara 60 ke 70 darjah Celsius untuk memecahkan komponen gula di dalamnya.

“Susu itu sendiri mempunyai gula dan tidak perlu ditambah gula untuk rasa lebih manis. Dengan hanya memanaskannya pada suhu yang ditetapkan, komponen gula dalam susu akan pecah lalu menghasilkan rasa manis semula jadi.

“Jadi kopi itu lebih enak dan sesuai untuk mereka yang mementingkan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, F&N Dairies (Malaysia) Sdn Bhd giat mempromosikan kempen Magnolia Milk Mooves Malaysia sempena sambutan Hari Susu Sedunia 2015 pada 25 Mei lalu.

Kempen yang berlangsung selama tiga minggu itu menggalakkan pengguna mengimbas semula kenangan manis menikmati produk susu bersama keluarga.

“Selain mengembalikan memori bersama keluarga dan sempena Hari Susu Sedunia, kempen ini menggalakkan rakyat Malaysia meningkatkan kesedaran terhadap kebaikan susu sebagai sumber khasiat pemakanan penting untuk tulang.

“Susu ialah sumber makanan yang mengandungi vitamin D dan ejen utama kalsium. Malangnya, ramai yang mengabaikan pengambilan susu setiap hari hingga akibatnya berlaku masalah gigi dan tulang rapuh.

“Justeru, kempen ini diharapkan dapat menjadi penggerak kepada tabiat hidup sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang seperti minum susu setiap hari,” ujar Ketua Hal Ehwal Korporat F&N Dairies (Malaysia) Sdn Bhd Van Toh Peng.

Selain mencetuskan budaya minum susu, kempen Magnolia Milk Mooves Malaysia ini tidak ketinggalan menggalakkan dan memupuk amalan membaca dalam kalangan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 12:45 PM