Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang dengan penahanan 15 individu dalam beberapa siri serbuan membabitkan nilai rampasan dadah bernilai RM305,298.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul, menjalankan risikan ke atas satu sindiket dadah yang bergerak aktif di kawasan Lembah Klang dan turut menjadikan pusat hiburan tumpuan untuk mengedar dadah.

Menurutnya, kira-kira jam 7 malam Selasa lalu, satu operasi dilancarkan di sebuah rumah di Taman Mastiara, Batu 5, Jalan Ipoh, di sini, dan menahan seorang wanita bersama tiga lelaki berusia antara 24 hingga 28 tahun.

"Dalam serbuan pertama ini, polis merampas kanabis seberat 723.50 gram, pil erimin 5 (5.60 gram), pil esctacy (3.10 gram), ketamin (0.99 gram) dan methamphetamine (0.94 gram).

"Polis juga berjaya membongkar kegiatan kesemua suspek yang menjadikan rumah teres dua tingkat itu sebagai makmal memproses dadah dengan penemuan bahan-bahan kimia yang dipercayai bahan utama.

"Serbuan kedua pula berjaya menahan lima lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun di sebuah rumah di Taman City, Jinjang serta menemukan sejumlah dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, hasil soal siasat, polis melakukan serbuan ketiga kira-kira jam 12.30 tengah malam Rabu lalu di sebuah kondominium di Jalan Putramas Off Jalan Kuching, Sentul dan menahan seorang lelaki berusia 26 tahun.

"Hasil pemeriksaan menemukan kanabis seberat 12 gram, erimin 5 (600 biji) dan serbuk MDMA (5,079 gram).

"Tindakan susulan dibuat selepas pihak polis mendapat maklumat mengenai rakan-rakan suspek yang menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Cheras dan Kajang," katanya.

Katanya, hasil maklumat itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Cheras Awana, Batu 9, Cheras, Selangor dan menahan seorang lelaki serta dua wanita berusia antara 34 tahun hingga 65 tahun.

"Hasil pemeriksaan dijalankan ke atas rumah itu menemukan kanabis seberat 2.74 gram, pil erimin 5 (10 biji), pil esctacy (62 biji) dan Serbuk MDMA (72.36 gram).

"Ujian saringan air kencing mendapati lapan suspek positif dadah THC dan ketamin manakala tiga suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah," katanya.

Katanya, suspek direman seminggu bermula Rabu lalu hingga 11 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 5:14 PM
Eng Lai (dua dari kanan) menunjukkan barang kes yang berjaya dirampas pada sidang media rampasan dadah di IPD Sentul. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Eng Lai (dua dari kanan) menunjukkan barang kes yang berjaya dirampas pada sidang media rampasan dadah di IPD Sentul. FOTO HAZREEN MOHAMAD