KEADAAN di tebing Sungai Sarawak di Kampung Gersik pagi tadi dan foto (gambar kecil) yang dimuat naik pengguna laman sosial mendakwa berlaku banjir besar di Kuching.
KEADAAN di tebing Sungai Sarawak di Kampung Gersik pagi tadi dan foto (gambar kecil) yang dimuat naik pengguna laman sosial mendakwa berlaku banjir besar di Kuching.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Perbuatan tidak bertanggungjawab pengguna laman sosial menyebarkan gambar lama banjir di Kuching dengan mendakwa ia berlaku hari ini, dikesali pelbagai pihak.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, walaupun hujan lebat berlaku awal pagi tadi, tiada berlaku banjir besar seperti yang didakwa.

Menurutnya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh mencetuskan panik dan berharap orang ramai tidak mudah mempercayai gambar yang tersebar.

"Dakwaan banjir besar berlalu hingga menenggelami kawasan tinggi termasuk tempat letak kereta di Hospital Umum Sarawak (HUS) adalah tidak benar.

"Apa yang berlaku sebenarnya ialah air bertakung beberapa minit ketika hujan lebat pagi tadi dan bukannya banjir. Ini disebabkan sistem perparitan yang kurang lancar.

"Kebanyakan pusat pemindahan sudah ditutup dan kini tumpuan diberikan kepada operasi pasca banjir," katanya.

Sehingga 2 petang, hanya lapan pusat pemindahan masih aktif dengan menempatkan 1,574 mangsa, manakala 46 lagi sudah ditutup dan lebih banyak lagi dijangka ditutup petang ini.

Seorang pengguna laman sosial menyebarkan gambar limpahan air Sungai Sarawak di Kampung Gersik dengan mendakwa berlaku pagi ini.

Gambar itu disahkan gambar lama ketika banjir melanda Kuching pada 8 Februari lalu.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Tiong Ling Hii berkata, pihaknya turut terkejut dengan dakwaan itu kerana paras air Sungai Sarawak sudah turun ke paras normal, pagi ini.

"Air Sungai Sarawak sudah surut, begitu juga tempat lain. Kami terkejut apabila dimaklumkan mengenai penyebaran gambar yang mendakwa Kuching masih dilanda banjir besar hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 5:16 PM