Antara rumah penduduk di Kampung Sungai Nada, Muara Tabuan, yang dilanda banjir. FOTO ihsan bomba
Antara rumah penduduk di Kampung Sungai Nada, Muara Tabuan, yang dilanda banjir. FOTO ihsan bomba
Oleh Abd Rahman Adam

Kuching: Sebanyak 30 rumah membabitkan 113 penghuni di Kampung Sungai Nada, Muara Tabuan, di sini, terjejas apabila kediaman mereka dinaiki air berikutan hujan lebat selama dua jam bermula 1 pagi tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohamad berkata, hujan lebat berterusanitu menyebabkan limpahan air dari sungai Nada sungai masuk ke kediaman penduduk.

Katanya, kebanyakan rumah penduduk dimasuki air kurang satu meter menyebabkan mereka tidak berpindah meskipun pusat pemindahan sudah pun dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya, di sini.

"Air sungai juga surut beberapa jam selepas itu menyebabkan pusat pemindahan banjir yang dibuka ditutup.

"Bagaimanapun, kita akan meminta pegawai dan anggota bomba memantau paras air sungai di kawasan berisiko tinggi menghadapi banjir dari semasa ke semasa berikutan paras air pasang tinggi yang diramalkan sepanjang minggu ini,"katanya.

Mengulas lanjut, Hisham berkata, ketika ini pihaknya memantau Sungai Sarawak Kiri membabitkan Batu Kitang, Setapok dan kawasan sekitarnya memandangkan paras air sungai berkenaan sudah 3.9 meter sebelum menjangkau tahap bahaya iaitu 4.5 Meter.

"Ketika ini, anggota juga diarahkan melakukan pemantauan di dua bahagian utama membabitkan kawasan Kuching dan Samarahan berikutan jumlah penduduk kedua-dua kawasan terbabit adalah tinggi,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 8:39 PM