Oleh Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: Selepas Kedah dikejutkan dengan empat kejadian puting beliung bulan lalu, fenomena alam itu muncul di daerah ini dengan ‘singgah’ di beberapa kawasan sawah petang tadi.

Difahamkan, puting beliung itu berlaku pada jam 5.30 petang dalam tempoh 20 minit.

Komander Operasi Kanan Bomba Selangor Mohd Hissam Sidik berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai kerosakan selepas kejadian itu.

Katanya, antara kawasan yang dilanda puting beliung itu adalah di Kampung Parit 1 Barat, Kampung Parit 8 Gambut, Kampung Parit 2 dan Parit 4 Sungai Haji Dorani, Kampung Panchang Bedena, Kampung Parit 6 dan Kampung Sungai Nipah Baroh.

“Kejadian dipercayai hanya berlaku di kawasan lapang dan tidak membabitkan rumah penduduk.

"Kita melakukan pemantauan jika kejadian itu berlaku kembali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 11:40 PM