Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini sudah menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mencadangkan gol pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dicalonkan untuk Anugerah Puskas 2016.

Menerusi surat berkenaan, FAM mencadangkan kepada FIFA agar gol pemain berusia 29 tahun itu menerusi sepakan percuma menakjubkan dari jarak kira-kira 32 meter pada minit ke-62 ketika perlawanan Liga Super 2016 antara Pulau Pinang bertemu Pahang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari 2016 dapat tersenarai sebagai satu daripada calon anugerah itu.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, pihaknya turut melampirkan salinan video gol berkenaan untuk dinilai oleh FIFA.

Biarpun mengetahui bahawa senarai 10 calon gol tercantik untuk Anugerah Puskas 2016 itu akan dicadangkan dan dipilih sendiri oleh FIFA dan jawatankuasa pemilihannya, FAM berpendapat surat cadangan tetap perlu dihantar bagi mendapat perhatian FIFA.

Peluang untuk gol Faiz disenaraikan nampak cerah berdasarkan reaksi peminat bola sepak antarabangsa yang memuji jaringan itu sehingga ia dibandingkan dengan jaringan lagenda Brazil Roberto Carlos pada 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 2:17 PM