FAIZ (empat dari kanan) cedera ketika menentang Kuantan FA.
FAIZ (empat dari kanan) cedera ketika menentang Kuantan FA.
Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Pemain tengah Pulau Pinang Faiz Subri mahu menjaringkan gol lebih menarik kerana percaya ‘jaringan menarik’ dihasilkan sehingga menjadi fenomena, boleh berulang.

Dia yang gembira dengan inisiatif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kelmarin untuk mencadangkan jaringannya ketika menentang Pahang dalam aksi Liga Super pada 16 Februari dicalonkan antara 10 gol tercantik bagi merebut Anugerah Puskas 2016 berkata, semangatnya semakin membara untuk mempamer aksi lebih baik.

“Saya berterima kasih kepada FAM kerana memaklumkan kepada FIFA mengenai gol itu. Saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana bagi saya, ini semua rezeki kalau gol itu dicalonkan dalam Anugerah Puskas 2016.

“Memang saya tahu ada yang cakap gol saya itu hanya nasib. Tapi sebenarnya tidak kerana memang saya mahu melakukan jaringan dengan teknik sepakan itu.

“Insya-Allah, saya akan cuba lagi (jaringkan gol menarik), mana tahu ada rezeki menjadi lagi,” katanya kepada Arena Metro.

Dalam laporan akhbar ini semalam, FAM mengesahkan sudah menghantar surat cadangan berserta salinan video jaringan Faiz yang menggemparkan peminat bola sepak dunia kerana keunikan jaringannya dengan harapan bakal tersenarai dalam 10 gol tercantik dunia.

Sebelum ini Anugerah Puskas mengiktiraf jaringan Cristiano Ronaldo dari Portugal pada 2009, Hamit Altintop (Turki, 2010), Neymar (Brazil, 2011), Miroslav Stoch (Slovakia, 2012), Zlatan Ibrahimovic (Sweden, 2013), James Rodriguez (Colombia, 2014) dan Wendell Lira (Brazil, 2015).

Antara kriteria pemilihan pemenang anugerah itu adalah gol dihasilkan mesti menarik tidak kira jarak jauh atau dekat, selain bukan sekadar nasib, kesilapan atau bola terkena pemain lain serta penjaring gol itu mempunyai rekod bersih.

Menurut Faiz, 29, beliau tidak tertekan dengan publisiti diberikan terhadapnya ketika ini sebaliknya fokusnya kini lebih terarah untuk membantu kejayaan Pulau Pinang.

“Tidak ada yang berbeza, rutin kehidupan saya masih seperti biasa. Saya juga tidak mahu terlalu memikirkan hal lain,” katanya yang kini sedang berehat akibat kecederaan tumit kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 8:22 AM