Video sepakan menarik Faiz menjadi pilihan peminat menonton di Youtube. FOTO HM
Video sepakan menarik Faiz menjadi pilihan peminat menonton di Youtube. FOTO HM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Angka melebihi satu juta iaitu seramai 1,348,827 penonton menyaksikan video gol ajaib jaringan Mohd Faiz Subri setakat jam 2 petang, hari ini.

Angka itu sekaligus mengatasi jumlah tontonan jaringan Lionel Messi dan Neymar.

Jaringan pemain Pulau Pinang itu tersenarai dalam tiga jaringan terbaik dunia untuk dipilih menerima Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Gol sepakan gunting pemain kelab Corinthians dari Brazil, Johnath Marlone mengekori di tempat kedua dengan 885,572 kali tontonan sementara gol sepakan percuma Messi di tempat ketiga dengan 879,423 tontonan.

Calon lain bagi anugerah itu adalah Mario Gaspar (Villareal/Sepanyol), Hlompho Kekana (Mamelodi Sundowns/Afrika Selatan), Saul Niguez (Atletico Madrid/Sepanyol), Hal Robson-Kanu (West Bromwich Albion/Wales), Simon Skrabb (Gefle IF/Finland) dan Daniuska Rodriguez (Venezuela).

Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerusi laman web rasminya www.fifa.com pada 19 Nov lalu menyenarai pendek 10 gol menarik dari tempoh 30 September 2015 hingga 30 September 2016 untuk menerima Anugerah Puskas FIFA.

Tiga jaringan terbaik mendapat undian tertinggi akan melalui pula proses undian kedua yang pemenangnya akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Januari tahun depan.

Peminat bola sepak tempatan berpeluang mengundi gol jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA di www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/ yang undiannya ditutup hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 4:05 PM