Ustaz Hanafi aktif menunggang motosikal berkuasa tinggi. FOTO ihsan Ustaz Hanafi
Ustaz Hanafi aktif menunggang motosikal berkuasa tinggi. FOTO ihsan Ustaz Hanafi
Ustaz Hanafi (kiri) dan Ustaz Muhamad Abdullah.
Ustaz Hanafi (kiri) dan Ustaz Muhamad Abdullah.
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: "Penat tetapi menyeronokkan apabila kita menjadi penyambung kerja nabi iaitu dakwah.

"Penat itu satu kemanisan, bonusnya ramai sahabat dan luas pandangan serta luas pengetahuan," kata penceramah bebas, Mohamed Hanafiah Abd Malek, 43.

Disebabkan banyak menerima undangan, beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi memerlukan seorang pembantu peribadi yang membantunya menguruskan jadual undangan berceramah di seluruh negara selain perlu menjaga kesihatan.

"Saya minta pembantu peribadi mengatur jadual saya supaya dalam seminggu ada sehari saya bercuti atau ceramah yang hampir dengan rumah saya.

"Saya menjaga kesihatan dengan melakukan senaman seperti tekan tubi 100 kali sehari dan menjaga pemakanan. Saya akan makan sedikit sebelum dan selepas ceramah, manakala ketika ceramah saya banyak minum air.

"Jika sakit tekak atau batuk saya akan minta mereka siapkan jus oren atau air nenas," katanya yang pernah memenuhi 21 jemputan berceramah dalam seminggu.

Selain itu, beliau sering melakukan aktiviti luar dalam memastikan staminanya baik untuk memenuhi undangan dengan mengambil makanan tambahan selain daripada mengamalkan doa.

"Saya selalu berdoa dan mengambil makanan tambahan seperti vitamin.

"Saya juga aktif dengan aktiviti luar seperti menunggang motosikal berkuasa tinggi dan melakukan

Menurutnya, beliau menjadikan pihak yang menjemputnya sebagai sahabat supaya lebih seronok setiap kali berceramah.

Mengulas mengenai penceramah bebas Datuk Mohamad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim Elias yang jatuh sakit ketika memberi ceramah, Ustaz Hanafi berkata, ia takdir Allah SWT sebagai tanda sayangkan hamba-Nya.

"Itu takdir dan sakit adalah tanda Allah sayangkan kita dan untuk cuci dosa kita serta ingatkan kita pada mati.

"Mungkin salah makan dan mungkin tekanan ataupun kemungkinan ramai sangat yang mengadu masalah dan mengharapkan jawapan dengan pantas," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penceramah bebas Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin, 40, menasihati pihak yang menjemput penceramah supaya tidak marah atau berkecil hati sekiranya penceramah itu tidak dapat memenuhi undangan mereka.

"Penceramah atau ustaz ini kalau terima jemputan, tidak sampai hati mahu menolak.

"Kalau menolak kadang-kadang ada yang kecil hati dan marah-marah. Ustaz pun manusia biasa yang perlukan rehat,” katanya

Sebagai penceramah bebas yang terpaksa berkejar ke banyak lokasi, beliau mengakui perlu mengamalkan gaya hidup sihat apabila aktif menjalankan aktiviti menyelam.

"Dari segi kesihatan saya memang bersenam dan ada sukan yang saya ikuti sampai sekarang iaitu menyelam, sehingga saya menjadi jurulatih.

"Ketika mengajar menyelam dalam masa sama saya juga bersenam. Selain itu, saya juga mengamalkan pemakanan sihat termasuk makanan tambahan seperti herba," katanya yang turut mempunyai pembantu peribadi untuk menguruskan jadual ceramahnya.

Menurutnya, beliau mendoakan semoga Ustaz Kazim cepat sembuh.

“Mudah-mudahan Allah SWT memberi kesembuhan kepada beliau untuk berdakwah," katanya.

Sebelum ini, Ustaz Kazim dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana diserang penyakit jantung ketika berceramah di Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) jajahan Bachok, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 8:42 PM