Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Lelaki 24 tahun parah selepas terkena tembakan di belakang tubuhnya dalam insiden di Kampung Pauh Lima, di sini, jam 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Ahmad Taufek Abdullah, berkata mangsa ketika itu membonceng motosikal adiknya.

Katanya, mereka dalam perjalanan dari Peringat menuju ke rumahnya di Bukit Temelong, Gunong, Bachok.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dihampiri dua lelaki bermotosikal yang memakai topi keledar.

"Pembonceng motosikal kemudian melepaskan dua das tembakan dari jarak dua meter dan satu daripadanya terkena di belakang mangsa.

"Mangsa parah. Adiknya kemudian membawanya ke Klinik Kesihatan Gunong sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut," katanya dalam sidang media di Balai Polis Binjai, di sini, hari ini.

Katanya, kemungkinan suspek menembak mangsa bermotifkan dendam dan pembabitan dalam aktiviti dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 3:00 PM