Aizat Sharif


Padang Besar: Polis merampas senapang angin dan pedang samurai dalam serbuan di premis barang lusuh di Kampung Kolam, Padang Besar, semalam.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Noor Mushar Muhamad berkata, serbuan dibuat pada 9.15 pagi itu oleh anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis selepas menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kegiatan dadah di situ.

“Tiada sesiapa di situ ketika serbuan dibuat dan pemeriksaan selanjutnya menemui senapang angin yang dibalut dengan suratkhabar dan pedang samurai,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati premis barangan lusuh itu adalah milik seorang lelaki dan senapang angin serta pedang samurai dipercayai milik lelaki itu.

“Tindakan mengesan suspek giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 1:13 PM