SUASANA sibuk dalam Pasar Ben Thanh.
SUASANA sibuk dalam Pasar Ben Thanh.
Teks dan gambar Noriah Idris

“Dah macam di Malaysia.” Itulah gambaran pengalaman penulis ketika berkunjung ke Ho Chi Minh, Vietnam, baru-baru ini.

Apa tidaknya, pergi sahaja ke mana-mana pusat pelancongan atau beli-belah di bandar raya itu anda pasti akan bertemu rakyat Malaysia.

Paling ramai tentunya di premis menjual kain baju kerana Vietnam kini dikatakan menjadi ‘syurga’ beli-belah bagi rakyat Malaysia untuk mendapatkan kain ela atau memborong pakaian berbanding Bandung atau Jakarta di Indonesia, suatu ketika dahulu.

Kebanyakan mereka ke Vietnam bukan sekadar melawat lokasi menarik dan bersejarah di negara itu, sebaliknya mahu membeli-belah pelbagai barangan terutama pakaian dan fabrik serta barangan cenderahati.

Jika pertama kali berkunjung ke bandar raya ini yang dulunya dikenali sebagai Saigon untuk membeli-belah, komunikasi tidak menjadi masalah kerana kebanyakan peniaga boleh berbahasa Melayu terutama di kawasan yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia seperti Saigon Square, Night Square, Ben Tay, Dong Koi Street dan Pasar Ben Tahn.

Di kebanyakan kedai, peniaga Vietnam bijak mencuri hati pelanggan dengan kata-kata manis seperti: “mari masuk, beli abang sayang, kakak cantik, murah, murah’.

Pasar Ben Thanh lokasi paling ramai pengunjung dari Malaysia kerana menawarkan pelbagai pilihan fabrik, renda, sutera, cadar, kasut, sarung bantal dan banyak lagi.

Rata-rata mereka yang ditemui penulis mengakui selesa membeli-belah kain dan pakaian di Vietnam sama ada untuk kegunaan sendiri atau untuk dijual di tanah air.

Guru yang bertugas di Melaka Nik Salida Harlina Nik Salleh, 45, berkata, dia rambang mata untuk membuat pilihan membeli fabrik kerana coraknya yang terkini dan menarik.

Katanya, berurusan dengan penjual di Vietnam tidak sukar kerana mereka berpegang pada janji asalkan pembeli bijak tawar-menawar.

“Saya sering ke Vietnam bersama keluarga dan seronok menempah pakaian yang boleh disiapkan dalam tempoh hanya dua jam. Tukang jahit atau pemilik kedai juga sanggup menghantar tempahan di hotel.

“Sambil makan angin bersama keluarga, saya puas memilih sendiri kain mengikut cita rasa,” katanya.

Ahli perniagaan, Wan Zaizul Adli Wan Zulkifli, 45, berkata, bandar raya ini sesuai dikunjungi kerana kebanyakan butik atau gedung pakaiannya menawarkan harga berpatutan.

“Kebanyakan usahawan butik kita kerap mengunjungi Vietnam kerana pilihan kain yang banyak dan menarik, selain jahitannya yang kemas.

“Sebagai pembeli atau pemborong, kita bebas membuat semakan harga antara satu kedai dengan kedai lain.

“Bagi yang baru menceburi bidang ini, ia pengalaman menarik kerana kain dan fesyennya lebih ‘trendy’ yang boleh membantu kita meningkatkan jualan,” katanya yang memiliki butik di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Azura Abdullah Sani, 35, pula berkata, makanan halal yang mudah diperoleh di bandar raya ini terutama sekitar Pasar Ben Thanh menjadi tarikan kepada pengunjung Islam.

Dia kerap ke Vietnam untuk membeli kain ela, telekung dan tudung untuk kegunaan keluarga dan cenderahati.

“Di sekitar Pasar Ben Tanh banyak restoran Muslim seperti Kedai Hajah Basiroh, Kedai 1Malaysia dan banyak lagi. Dengan banyak hotel di sekelilingnya, ia memberi kemudahan kepada pelancong,” katanya.

Sementara itu, kunjungan penulis ke gudang Tina’s Shop yang agak jauh sedikit dari pusat bandar raya Ho Chi Minh menemukan penulis dengan ramai pemborong dari Malaysia.

Sarah Amin, 31, yang mengusahakan butik secara dalam talian berkata, dia sering berulang-alik ke negara itu untuk mendapatkan fabrik terkini.

“Selepas setahun membuka butik di Bandar Baru Bangi, Selangor, saya kerap ke Vietnam berikutan fabriknya menarik perhatian pelanggan.

“Saya turut menempah pakaian sedia dipakai kerana lebih murah berbanding di Malaysia,” katanya.

Berkolaborasi perniagaan bersama abangnya Fadzli,36, dua beradik ini gigih menjalankan butik secara dalam talian.

Menurut Fadzli, seorang lagi abang sulungnya, Fathul Rahman, 46, turut mengembangkan perniagaan sebagai pemborong dan pembekal kain. Mereka kerap membawa rombo–ngan usahawan ke Vietnam dan China kerana sambutan memberangsangkan.

“Pengalaman sebagai pemborong fabrik digunakan untuk meng–galakkan lebih ramai Bumiputera menceburi bidang ini, sekali gus merancakkan industri fesyen Muslimah di tanah air.

“Kalau dulu, kita kurang arif selok-belok memborong kain berkualiti, kini makin ramai usahawan kita menceburi industri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Tina’s Shop, Linda Tan, 30-an, berkata, setiap hari lebih 500 peniaga dari Malaysia mengunjungi gedung tekstilnya.

Menurutnya, selain Malaysia, pelancong dari Singapura, Brunei, Thailand dan India juga kerap berkunjung ke gedung itu yang beroperasi lima tahun lalu.

Pengusaha Restoran 1Malaysia, Musa Kariem, 35, berkata, dia membuka restoran itu lima tahun lalu dengan menyediakan makanan halal.

“Sebagai Muslim, saya terpanggil membuka restoran halal dengan menyediakan pelbagai menu bagi memenuhi selera pelanggan. Saya turut membuka butik iaitu Danny’s Shopp yang menyediakan baju siap dipakai seperti jubah, tudung dan telekung.

“Tidak dinafikan, rakyat Malaysia membantu meningkatkan perniagaan saya. Sebagai penghargaan, saya namakan Restoran 1Malaysia sebagai tanda terima kasih kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 11:06 AM