FAIL Bernama
FAIL Bernama
Daripada A Jalil Hamid di San Francisco


MALAYSIA memiliki asas ekonomi yang kukuh di sebalik kelembapan global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada pengurus dana.

Katanya, kerajaan akan terus mengekalkan polisi pengurusan berhemat, mengekalkan tahap nisbah hutang bawah 55 peratus daripada KDNK, mengawal perbelanjaan dan mengekalkan lebihan akaun semasa.

“Prospek Malaysia adalah baik. Dalam keadaan ekonomi dunia sekarang, kami masih menguruskannya dengan baik,” katanya dalam ucaptama sempena siri jelajah Bursa Malaysia dan Bank Pelaburan Maybank, Invest Malaysia, di sini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, nilai ringgit akan pulih walaupun ketika ini rendah berbanding dolar Amerika.

Perdana Menteri berkata, pengurus dana cenderung untuk mengkelaskan Malaysia dalam kalangan pasaran meningkat naik.

"Malaysia memiliki asas tertentu yang membezakannya daripada pasaran meningkat naik yang lain," katanya.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan; dan CEO Bank Pelaburan Maybank, John Chong.

Siri jelajah `Invest Malaysia 2016: Conversation Series' itu diadakan di tiga hab kewangan terkemuka dunia sebelum ini iaitu Hong Kong, Singapura dan London.

Kumpulan berkenaan telah menemui 103 pelabur pengurus dana daripada 79 dana dengan aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai lebih AS$20 trilion, dengan hampir 95 peratus daripadanya adalah dana `jangka panjang' sahaja.

Ini kali pertama pengurus dana berpangkalan di San Francisco berpeluang berbincang dengan Najib menerusi sesi tertutup. Seramai 16 pengurus dana daripada 11 syarikat pengurusan dana menghadiri sesi berkenaan.

Mereka mengendalikan dana berjumlah AS4.5 trilion. San Francisco adalah pusat kewangan di barat Amerika Syarikat.

Banyak firma broker dan perbankan mempunyai pejabat di sini manakala syarikat seperti Charles Schwab and Franklin Templeton Investments mempunyai ibu pejabat di San Francisco.

Sebagai pintu masuk ke Lembah Silikon, San Francisco mempunyai fokus khusus dalam sektor teknologi dan Bay Area adalah ibu pejabat global bagi industri modal teroka.

Wahid yang bertanggungjawab bagi perancangan ekonomi, berkata semua mesyuarat bersama pengurus dana di hab kewangan lain mendapat sambutan memberangsangkan.

"Mereka berpendapat kita bertindak proaktif dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 dan langkah meningkatkan hasil yang banyak membantu bagi menampung kekurangan RM9 bilion dari segi pendapatan.

"Bagaimanapun, mereka menyatakan kebimbangan terhadap ekonomi China yang perlahan dan berkemungkinan mencetuskan ketidakstabilan dalam pasaran kewangan global," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 9:35 AM