Ahmad Rasidi memberi taklimat kepada media sempena lawatan kerja Najib ke London, semalam.
Ahmad Rasidi memberi taklimat kepada media sempena lawatan kerja Najib ke London, semalam.

London: Datuk Seri Najib Razak berlepas ke London semalam dalam lawatan kerja lima hari dengan dijadualkan menghadiri beberapa mesyuarat peringkat tertinggi menumpukan kepada perniagaan, pelaburan dan sains.

Perdana Menteri yang dalam perjalanan ke Sochi, Russia bagi menghadiri Persidangan Russia-Asean hujung minggu depan dijangka mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan dana, ahli perniagaan dan saintis terkemuka semasa persinggahan beliau di London.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK) Datuk Ahmad Rasidi Hazizi berkata, lawatan Najib walaupun singkat namun amat bermakna kerana bakal memperkukuhkan ikatan ekonomi Malaysia-UK.

Pada beberapa siri mesyuarat Isnin dan Selasa ini, Najib akan memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan portfolio pelaburan ke Malaysia.

Najib turut menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Agung baru Komanwel Patricia Scotland, Isnin ini.

Beliau juga akan menghadiri Sesi Sarapan Bursa Malaysia dengan 25 pengurus dana dari firma terkemuka UK bagi membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Perdana Menteri juga akan menyampaikan ucaptama pada pembukaan persidangan sehari Malaysia-UK Investor Showcase, Isnin ini.

Selasa pula, Perdana Menteri akan mempengerusikan Mesyuarat Tahunan ke-6 Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC).

Beliau turut berucap di Khazanah Distinguished Lecture Series sebelum merasmikan pejabat Khazanah Europe Investment Limited (KEIL).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:15 AM