Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Abdul Halim (dua dari kiri) dan  Tengku Ahmad Badlishah   (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara  Muhammad Adli  (kiri) dan   Najmi.
Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Abdul Halim (dua dari kiri) dan Tengku Ahmad Badlishah (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Muhammad Adli (kiri) dan Najmi.
Syarifah Dayana


PMB Investment Bhd (PMB Investment) memeterai nota kerjasama strategik bagi program keusahawanan kewangan syariah bersama Etiqa Family Takaful Bhd (Etiqa) bagi memantapkan perunding unit amanahnya (PUA).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Bhd, Tengku Ahmad Badlishah Raja Husin berkata, melalui kerjasama itu, Etiqa akan membantu PMB Investment memenuhi keperluan latihan PUA dalam usaha menjadikan anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Bhd itu sebagai pengurus dana patuh syariah terulung.

“Kerjasama strategik ini akan memberi ruang kepada PMB Investment bagi mendapatkan kepakaran teknikal daripada Akademi Etiqa terutama bagi perkongsian pengetahuan mengenai jualan dan kepemimpinan.

“Kami mahu mainkan peranan penting dalam meningkatkan kemahiran PUA demi membentuk mereka sebagai usahawan kewangan syariah dan menjadikannya sebagai kerjaya pilihan generasi muda,” katanya pada majlis menandatangani nota kerjasama strategik berkenaan di sini.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed mewakili Pelaburan MARA dan Etiqa diwakili Ketua Akademi Etiqa, Muhammad Adli Alias sambil disaksikan Tengku Ahmad Badlishah.

Setakat 28 Februari lalu, PMB Investment mempunyai 1,000 PUA dan dijangka meningkat 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Mengulas lanjut, Najmi berkata, kerjasama ini akan mengembangkan dan mengukuhkan jejak kedua-dua syarikat dalam pasaran dana pelaburan sekali gus membolehkan lebih ramai melabur dengan PMB Investment dan seterusnya mengambil perlindungan takaful Etiqa.

Menerusi kerjasama ini, katanya kumpulan mengunjurkan jumlah pelaburan sebanyak RM700 juta menjelang akhir 2019 berbanding RM400 pada tahun sebelumnya manakala jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat sebanyak RM2 bilion.

Sementara itu, mengulas mengenai prospek pasaran, Najmi berkata peningkatan aliran masuk dana asing ke pasaran tempatan dijangka terus memacu penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) untuk mencecah sehingga 1,800 mata tahun ini dengan pemulihan beberapa indeks di Bursa Malaysia.

Katanya, berlaku situasi tematik di Bursa Malaysia terutama dalam sektor minyak dan gas serta teknologi, berikutan pelancaran spektrum 5G.

“Bagi dua bulan pertama 2019, pasaran ekuiti tempatan didagangkan berdasarkan tajuk utama akhbar. Sepanjang tahun 2019, pasaran diramalkan kekal tidak menentu disebabkan oleh beberapa ketidaktentuan termasuk perang perdagangan antara China-Amerika Syarikat (AS), Brexit dan penutupan kerajaan AS serta kelembapan pertumbuhan ekonomi global.

“Namun pertumbuhan ekonomi negara dijangka merekodkan pertumbuhan positif berikutan beberapa tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk menangani pertumbuhan perlahan global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 11:34 AM