Mustam bersama isterinya yang kini trauma angkara kebiadapan warga Nepal. FOTO ihsan Mustam
Mustam bersama isterinya yang kini trauma angkara kebiadapan warga Nepal. FOTO ihsan Mustam
Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Warga Nepal yang dalam keadaan mabuk bertindak biadap apabila mencabul isteri orang di hadapan Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam, lelaki terbabit memeluk mangsa sebelum meraba badan wanita berusia 24 tahun itu.

Menurut suami mangsa, Mustam Mustapa, 34, dia terdengar jeritan sebelum mendapati isterinya cuba melepaskan diri daripada seorang lelaki yang tidak dikenali.

"Lelaki berkenaan sedang memeluk isteri saya dari belakang sebelum saya bertindak merentap tangan isteri untuk selamatkan dia.

"Kerana geram, saya menendangnya sehingga jatuh menyebabkan lelaki itu pengsan.

"Bagaimanapun, selepas hampir lima minit lelaki itu bangun semula," katanya.

Menurutnya, isterinya kini trauma akibat kejadian malam tadi.

Mustam yang menggunakan nama Genji Buskers di Facebook memuat naik gambar warga Nepal yang mencabul isterinya di laman sosial itu dan ia menjadi ‘viral’.

Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

"Suspek masih lagi diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 4:30 PM