JUTTING ketika dibawa ke mahkamah, semalam.
JUTTING ketika dibawa ke mahkamah, semalam.
AFP

Hong Kong: Seorang ahli perbankan Britain yang dituduh membunuh dua wanita Indonesia semalam diputuskan boleh dibicarakan.

Bagaimanapun, kes itu ditangguhkan selama tujuh bulan untuk membolehkan bukti forensik yang ditemui bersama-sama mayat mangsa di apartmennya dianalisis.

Majistret Bina Chainrai berkata, Rurik Jutting, bekas kakitangan Bank of America Merrill Lynch boleh dibicarakan atas dua tuduhan membunuh selepas dia menjalani pemeriksaan mental selama dua minggu.

Jutting, 29, dituduh membunuh Seneng Mujiasih dan Sumarti Ningsih selepas polis menemui mayat kedua-dua mangsa di apartmennya dengan satu daripada mayat itu hampir reput di dalam beg pakaian.

Dalam keputusan mengejutnya, Chainrai bersetuju dengan permintaan pendakwa raya untuk menangguhkan perbicaraan sehingga 6 Julai tahun depan sementara penyiasat menganalisis ratusan bukti.

Jutting tidak menunjukkan sebarang emosi ketika majistret membacakan keputusannya di kamar mahkamah yang penuh sesak.

Dia menghadapi hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Pendakwa raya Louise Wong memberitahu mahkamah, penyiasat memerlukan 28 minggu untuk memeriksa 200 bukti, termasuk melakukan ujian DNA.

Sementara itu, di Indonesia, bapa Sumarti, Ahmad Kaliman, 59, memberitahu wartawan, dia kecewa dengan keputusan mahkamah melewatkan perbicaraan.

Mayat kedua-dua wanita itu ditemui selepas Jutting memanggil polis ke apartmennya di daerah Wanchai pada awal pagi 1 November lalu.

Mayat Seneng ditemui dalam keadaan berbogel dengan kesan luka akibat ditikam pada leher dan pinggulnya.

Mayat Sumarti pula ditemui beberapa jam kemudian dalam beg pakaian di balkoni apartmen itu.

Polis juga menyiasat sama ada kedua-dua mangsa ialah pekerja seks selepas kokain dan beberapa permainan seks ditemui di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:05 AM