JUMIATI  membawa gambar Sumarti ketika menyertai perhimpunan di sebuah padang bola di Hong Kong bagi memperingati dua mangsa pembunuhan, semalam.
JUMIATI membawa gambar Sumarti ketika menyertai perhimpunan di sebuah padang bola di Hong Kong bagi memperingati dua mangsa pembunuhan, semalam.
AP

Hong Kong : Lebih 100 warga Indonesia mengadakan perhimpunan aman, berdoa dan menuntut pihak berkuasa memberikan keadilan terhadap dua wanita negara itu yang dibunuh, baru-baru ini.

Menjadikan padang bola sepak di Victoria Park sebagai lokasi, sebahagian besar peserta menitiskan air mata ketika mereka mengenang Sumarti Ningsih, 25, dan Seneng Mujiasih, 29, yang menjadi mangsa pembunuhan awal bulan ini.

Pekerja bank, Rurik George Caton Jutting, 29, dituduh membunuh kedua-dua wanita terbabit, tetapi sehingga hari ini dia belum diarah membuat sebarang pengakuan.

Pada 1 November lalu, Jutting membawa polis ke rumahnya di tingkat 31 sebuah bangunan apartmen di kawasan pelacuran Wan Chai.

Pihak berkuasa kemudian menemui mayat Sumarti dan Seneng di situ.

Sepupu Sumarti, Jumiati, berkata kali terakhir mereka bertemu pada Ogos lalu di kampung mereka.

“Seminggu lalu saya menghubungi polis untuk melaporkan kehilangan Sumarti dan tidak lama kemudian saya diminta mengenal pasti mayatnya.

“Saya sangat berharap pembunuh Sumarti dihukum supaya dia dapat merasai apa dialami sepupu saya itu,” katanya.

Rakan Sumarti, Susiati terus menangis apabila diminta menceritakan pengalamannya dengan mangsa pembunuhan itu.

“Dia ada anak berusia lima tahun di kampung,” katanya.

Sebahagian peserta perhimpunan membawa sepanduk mendesak pembaharuan undang-undang mengenai pembantu rumah dilaksanakan di Indonesia dan Hong Kong.

Amnesty International menyatakan, separuh daripada 319,325 pekerja asing di Hong Kong datang dari Indonesia dan hampir semuanya wanita.

Jurucakap Konsulat Indonesia berkata, Senenng berada di Hong Kong walaupun visa pekerjanya tamat, manakala Sumarti kembali ke bandar raya itu baru-baru ini sebagai pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:05 AM