ANTARA aksi Negeri Sembilan bertemu TFC II hari ini. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ANTARA aksi Negeri Sembilan bertemu TFC II hari ini. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal meneruskan rentak kemenangan apabila sekadar seri dengan Terengganu FC II, 2-2, dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Biarpun tampil berbekalkan dua kemenangan yang diraih sebelum ini, namun Negeri Sembilan diberikan tentangan sengit pasukan lawan hingga menyukarkan mereka meraih kemenangan.

Pelawat terlebih dulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-9 menerusi Mohamad Ramzi Sufian.

Jaringan itu berpunca daripada gerakan pantas Mohamad Ramzi dari bahagian tepi dan dia yang menerima bola dari bahagian tengah berjaya melepasi pertahanan tuan rumah sebelum merembat deras ke bahagian tepi kiri pintu gol Negeri Sembilan sekali gus menewaskan penjaga gol, Mohd Kaharuddin Abd Rahman.

Jaringan itu menyentap semangat anak buah K Devan dan mereka dilihat cuba meningkat asakan ke kubu lawan menerusi serangan bertali arus bagi mendapatkan gol.

Skuad Hobin Jang Hobin mendapat dua peluang terbaik menerusi sepakan bola mati oleh Alain Thierry Akono dari jarak kira-kira 20 meter di luar kotak penalti pada minit ke-17, namun sepakan penyerang berasal dari Cameroon itu sedikit melepasi palang.

Peluang kedua diperoleh pada minit ke-26, apabila lorongan bola Alain Akono ke kawasan pintu gol TFC II, gagal ditampan dengan baik Muhammad Faris Danial Mat Nasir.

Bagaimanapun usaha dan kerja keras barisan depan Negeri Sembilan untuk mendapatkan gol akhirnya berhasil apabila penyerang, Rafael Gomes Oliveira , yang menerima bola dari bahagian tepi, berjaya memperdayakan dua pertahanan pelawat sebelum meledak gol penyamaan pada minit ke-30 sekali gus menewaskan penjaga gol TFC II, Mohd Suhaimi Husin.

Berbanding pada awal permainan yang dilihat TFC II lebih mendominasi permainan, pada penghujung babak pertama kedua-kedua pasukan dilihat lebih berhati-hati bagi mengelak gawang dibolosi.

Bersambung babak kedua, TFC II tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol kedua apabila Engku Muhamad Nur Shakir Engku Yacob yang tidak kawal, mudah menanduk bola ke gawang Negeri Sembilan pada minit ke-49.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan kembali menyamakan kedudukan menerusi sepakan padu dari jarak kira-kira 25 meter oleh pemain gantian R Barathkumar yang terkena pemain pertahanan TFC II sebelum bola menerjah jaring pada minit ke-58 untuk mengikat 2-2.

Kedua-dua pasukan kemudiannya saling menggandakan asakan ke kubu lawan masing-masing dalam usaha mendapatkan kemenangan.

Namun, usaha itu tidak kesampaian apabila mereka berpuas hati dengan kedudukan seri dengan masing-masing meraih satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 11:48 PM