Trend sudah sebati dengan belia generasi kini. Basyar Mustapha tanya pakar mengenai fenomena ini.

Sejak beberapa tahun dahulu, fesyen berkenaan terutama seluar skinny menjadi pilihan anak muda dalam berfesyen. Pakaian skinny seakan menjadi item penting revolusi fesyen seluruh dunia di mana semakin ramai individu kini yang mementingkan stail dan keterampilan diri.

Walaupun trend berubah dan stail baru datang dan pergi, pakaian potongan skinny masih kekal menjadi pilihan dalam berfesyen termasuk dalam kalangan belia di negara ini. Namun sejak kebelakangan ini penulis melihat kebangkitan gaya fesyen dengan potongan yang sedikit longgar dan tidak terlalu ketat seperti gaya skinny. Dengan potongan pakaian yang longgar digabungkan pula dengan perincian minimalis dan warna monokrom, gaya potongan longgar dikatakan bakal memberi saingan kepada gaya skinny.

Gen Y menemu bual pereka muda yang semakin meningkat naik dengan gaya rekaannya yang urban dan sofistikated, Tengku Syahmi, 26, mengenai survival gaya skinny dan apa yang patut dan tidak patut dibuat dalam menggayakan fesyen skinny ini.

Soalan: Adakah Syahmi rasa trend fesyen skinny ini akan kekal untuk satu jangka masa yang lama lagi?

Tengku Syahmi (TS): Pada pendapat saya, trend potongan slim fit atau skinny akan kekal untuk jangka masa yang lama kerana ia menjadi satu item penting dalam fesyen dan sekarang semakin banyak variasi fesyen ini direka oleh jenama mewah hinggalah jenama mampu beli. Ini membuktikan terdapat permintaan yang besar untuknya. Generasi muda zaman sekarang sudah mula mengambil berat apa yang kelihatan cantik pada mereka dan potongan skinny mudah melakukannya.

Semakin ramai yang mementingkan keterampilan dan fesyen seiring dengan kemajuan dunia

Pada saya ia sesuatu yang bagus untuk pasaran dan menujukkan ramai yang memiliki kuasa membeli di tangan mereka. Sambutan perayaan Aidilfitri lepas menunjukkan fesyen skinny semakin diminati dengan sambutan hebat terhadap baju melayu potongan slim fit. Namun bagi saya tidak semuanya hebat dalam potongan slim fit. Jika baju Melayu saya lebih sukakan ia berkonsep minimal seperti baju Melayu cekak musang dengan potongan lebar.

Soalan: Bagaimana menggayakan fesyen potongan skinny yang betul?

TS: Pertama, kenali bentuk badan sendiri. Sama ada potongan skinny ataupun slim untuk seluar mahupun baju, sebenarnya amat penting memilih saiz yang anda rasa selesa apabila memakainya. Jangan nampak macam pakaian yang kita pakai itu macam hendak terkoyak kerana sendat sangat. Kita perlu tahu apa yang sesuai dengan bentuk badan kita

Keduanya, sebelum membeli cuba dahulu pakaian itu kerana jenama lain mempunyai potongan dan definisi lain untuk potongan skinny, slim atau sebagainya. Tahu jenama apa memberi potongan yang sesuai untuk kita. Kualiti juga sangat penting dalam menggayakan trend ini kerana ia selalu melekap pada tubuh badan. Pada saya akan membeli pakaian yang fabriknya tahan lama.

Kemudian jadi kreatif dan berseronoklah menggayakannya. "Mix and match" pakaian yang anda ada. Jika seluar skinny gayakan dengan baju yang tidak ketat suapaya ia seimbang dan nampak segar dan tidak terlalu mencuba.

Soalan: Apa yang tidak patut dilakukan dalam bergaya skinny?

TS: Jangan pakai yang terlalu ketat. Potongan yang ideal untuk gaya skinny adalah slim fit dan ia sepatutnya menampakkan tubuh anda dengan cantik.

Sememangnya warna yang terang dan ceria menarik tapi ia tidak berapa sesuai untuk fesyen skinny. Warna gelap seperti hitam, warna tanah dan warna yang tidak begitu menonjol adalah sesuai dan ia akan menjadikan pakaian potongan skinny itu lebih versatil.

Akhir sekali potongan kepanjangan pakaian mestilah betul. Seluar skinny contohnya janganlah terlalu panjang dan tidak dipotong dan jangan pula terlalu singkat. Apapun, pastikan item fesyen anda versatil dan boleh dipakai untuk satu jangka masa lama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:01 AM