GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Mogok Doktor Malaysia memberi amaran kepada mana-mana pihak termasuk pegawai perubatan kanan untuk tidak mengugut doktor kontrak yang mahu menyertai mogok selama tiga hari mulai esok.

Menerusi Instagram (IG) mereka, kumpulan itu mendedahkan terdapat doktor kanan cuba menekan doktor kontrak untuk tidak terbabit dalam mogok menuntut hak lantikan tetap.

"Pihak kami akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap mana-mana doktor pakar yang terbabit kes ugutan seperti ini.

"Tolong hantarkan nama kepada admin (pihak pengurusan) dengan bukti screenshot (tangkap layar). Kami akan memastikan pakar perubatan yang terbabit dalam ugutan dikenakan hukuman setimpal," katanya.

Menerusi hantaran sama, turut dimuat naik gambar tangkap layar kiriman mesej didakwa daripada pakar perubatan yang melarang mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan dan tindakan akan diambil oleh ketua bahagian.

Media sebelum ini melaporkan, kumpulan doktor kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari bermula esok, tidak berganjak daripada keputusan mereka untuk meneruskan tindakan itu.

Mogok Doktor Malaysia di IG mendakwa seramai 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.

Jurucakap kumpulan itu yang dikenali sebagai Dr Jamal berkata, mereka tidak akan hadir bertugas selama tiga hari, dengan mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 10:33 PM