Kalidevi Mogan Kumarappa

 

Kuala Lumpur: Lelaki yang dikehendaki polis atas kesalahan menikam dan mencederakan ibunya dalam kejadian di Setapak Jaya Isnin lalu berjaya ditahan awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, suspek dijumpai merayau berseorangan di kawasan Pandan Indah sebelum dibawa anggota Bahagian MPV Pandan Jaya ke Balai Polis Pandan Indah.

Katanya, suspek yang berasal dari Persiaran Rejang,Setapak Jaya akan direman pada pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8. 30 malam Isnin lalu, suspek menikam perut ibunya, Khariah Hashim, 49, yang juga guru sekolah agama sebelum melarikan diri.

Mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur akibat kecederaan itu.

Suspek yang dipercayai sakit mental disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 8:20 AM