Siraj Mohd Zaini


Pelabuhan Klang: Kapal perang milik Tentera Laut Algeria yang dikenali sebagai El-Fateh berlabuh di Jeti Pusat Hidrografi Nasional, kira-kira 10.30 pagi tadi.

Difahamkan, ia adalah kapal perang yang baru dibeli daripada negara China dan dalam misi mengelilingi 22 negara di seluruh dunia.

Pegawai Staf II Perhubungan Antarabangsa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Komander Amirudin Azman berkata, kapal yang membawa 121 pegawai dan anak kapal itu berlabuh mulai hari ini sehingga 13 Februari.

Katanya, selama tempoh itu, mereka juga akan mengisi semula bekalan makanan dan air untuk digunakan ketika berlayar.

"Kapal sepanjang 120 meter panjang dan 14 meter lebar ini berkelajuan 27 knot serta dilengkapi keupayaan sistem pelancaran peluru berpandu permukaan ke permukaan, permukaan ke udara, meriam utama dan torpedo.

"Ia adalah kapal kedua daripada tiga kapal yang dibeli daripada China dan ia baru saja selesai ujian ketenteraan dan penyerahan di Shanghai, China sebelum meneruskan perjalanan ke negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 2:22 PM
KAPAL perang Tentera Laut Algeria, El-Fateh berlabuh di Jeti Pusat Hidrografi Nasional. FOTO Rosdan Wahid
KAPAL perang Tentera Laut Algeria, El-Fateh berlabuh di Jeti Pusat Hidrografi Nasional. FOTO Rosdan Wahid