ORANG ramai mengambil makanan yang diedar sukarelawan.
ORANG ramai mengambil makanan yang diedar sukarelawan.
MAKANAN diagihkan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa.
MAKANAN diagihkan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa.
ORANG ramai mengambil makanan yang diedar sukarelawan.
ORANG ramai mengambil makanan yang diedar sukarelawan.
ANAK bongsu Normaliza, Kaseh turut dididik dengan kerja amal.
ANAK bongsu Normaliza, Kaseh turut dididik dengan kerja amal.
SUKARALEWAN mengagih makanan kepada pekerja pembersihan di Makkah.
SUKARALEWAN mengagih makanan kepada pekerja pembersihan di Makkah.
NORMALIZA bersama keluarga dan sebahagian sukarelawan melakukan pengagihan makanan  pada waktu malam setiap Selasa.
NORMALIZA bersama keluarga dan sebahagian sukarelawan melakukan pengagihan makanan pada waktu malam setiap Selasa.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Pembabitan dalam program kebajikan memerlukan jiwa yang kental dan semangat tidak berbelah bahagi terutama apabila ia dilakukan atas inisiatif sendiri dengan hanya mengharap bantuan dan sumbangan penderma berjiwa murni.

Namun, kemuliaan hati tujuh beranak mewujudkan projek amal yang digelar KASEH4U sejak lebih dua tahun lalu wajar diberi pujian. Mana tidaknya, jika orang lain selesa menghabiskan waktu terluang untuk bersama keluarga di rumah, mereka sekeluarga mengerah keringat bersama untuk membantu golongan yang memerlukan atas dasar kemanusiaan.

Malam Selasa menjadi rutin mingguan keluarga ini bersama sukarelawan menghabiskan masa mengedarkan makanan untuk golongan gelandangan dan fakir miskin di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Pengasas Projek KASEH4U Normaliza Mahadi beranggapan, sumbangan yang dilakukannya bersama suami yang juga pengasas bersama projek itu, Niza Haniz Mustaffa, 53, semata-mata kerana mahu membantu meringankan beban mereka yang dalam kesusahan.

Normaliza, 43, yang juga kaunselor profesional mula membuat kerja amal dengan memberi kaunseling percuma kepada pasangan, keluarga dan juga pelajar yang memerlukan bantuan sejak 2005.

Tiada NGO, dia hanya bergerak sendiri atas kapasiti kaunselor berlesen di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia.

Program memberi makanan itu dimulakan pada November 2013 dan diberikan nama Projek KASEH4U mengambil sempena nama anak bongsunya, Kaseh Nadine Nabilah Niza Haniz Mustaffa, 5, menggunakan tagline ‘Now, Everyone Can Eat’ (kini semua orang boleh makan).

“Daripada kerja kaunseling saya, maklumat mengenai keluarga susah, tiada wang untuk makan dan terpaksa tinggal di jalanan, sesuatu yang biasa didengar. Justeru, saya mengambil keputusan untuk memasak dan memberikan makanan kepada kumpulan sasar iaitu miskin bandar serta gelandangan di sekitar Hotel Tune, Chow Kit.

“Projek KASEH4U ini dijalankan pada setiap Selasa pada sebelah malam dan berterusan kerana ada seramai 450 orang menunggu untuk mendapatkan makanan. Mereka terdiri daripada dua golongan itu dengan pecahan sebanyak 70 kanak-kanak, 100 warga emas dan selebihnya golongan dewasa yang tidak mampu membeli makanan.

“Saya memang mahu membantu meringankan beban orang yang dalam kesusahan. Pendorong kuat saya ialah suami apabila sentiasa memberi dorongan terhadap kerja kemasyarakatan yang mahu saya ceburi.

“Malah, suami saya yang memasak setiap Selasa memandangkan saya bekerja. Memandangkan dia bekerja sendiri, jadualnya lebih fleksibel dan pada Selasa, harinya bercuti khusus untuk memasak dengan dibantu oleh pembantu rumah kami dan juga anak selepas mereka pulang dari sekolah,” katanya.

Projek KASEH4U sudah beroperasi selama dua tahun dan melangkah tahun ketiga bulan depan. Secara puratanya projek itu memerlukan kira-kira RM2,500 untuk setiap projek dan pada kebanyakan masa, sumbangan datang daripada penyumbang dan penderma budiman.

Ibu kepada lima cahaya mata ini turut didorong kuat oleh anak-anaknya, Fatin Najihah, 20, Puteri Nur Idham, 18, Muhammad Uwais, 17, Adam, 15, dan Kaseh Nadine yang turut terbabit dengan program kebajikan itu jika ada kelapangan masa dan semua orang dalam keluarganya menyumbang dalam bentuk tersendiri.

Normaliza yang juga pemegang Ijazah Sarjana Kaunseling Psikologi dari Universti Kebangsaan Malaysia juga mengakui hatinya mudah tersentuh lebih-lebih lagi apabila melihat kanak-kanak yang lapar dan makanan yang tidak mencukupi ketika melakukan projek itu.

“Pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan dan menjadi ingatan sehingga sekarang apabila bertemu seorang ibu tunggal dengan empat anak tidur di jalanan kerana sudah tidak mampu membayar sewa bilik. Mereka berjaya dibantu dengan sumbangan orang ramai yang digerakkan oleh saya. Alhamdullilah,” katanya.

Melihat sokongan tidak berbelah bahagi sukarelawan dan penderma pastinya membuat Normaliza memasang impian untuk meluaskan program berkenaan di setiap bandar utama di Malaysia.

Selain itu, mereka kini berharap untuk mendapatkan sebuah van untuk memasak dan membawa makanan, menyediakan buku untuk bahan bacaan kanak-kanak miskin dan menyediakan tempat solat untuk golongan yang menerima makanan di seluruh bandar di Malaysia.

“Saya mahu memastikan setiap orang mendapat makanan secukupnya untuk diri dan juga keluarga mereka,” katanya.

Baru-baru ini, Projek KASEH4U melakar sejarah apabila projek dengan kerjasama wakil yang ting­gal di Istanbul, Turki akan menggerakkan projek yang sama di kota itu.

“Idea ini tercetus semasa saya melawat Turki pada November lalu. Saya dan rakan berjumpa beberapa gelandangan yang kebanyakannya berasal dari Syria.

“Keadaan mereka jauh lebih teruk daripada tetamu projek di Kuala Lumpur. Ramai ibu di sana dengan bilangan anak yang agak ramai berkeliaran dengan keadaan comot dan sudah tentunya kelaparan. Ada pula ibu yang membawa anak kecil mencari makanan dengan menyelongkar tong sampah di belakang restoran.

“Saya sempat berjumpa beberapa gelandangan yang kesejukan dan kelaparan pada waktu malam. Projek ini sudah menghantar sedikit bantuan yang terdaya kepada wakil di sana. Buat masa ini, kami memberikan selimut dan roti kepada mereka yang tidur di jalanan,” katanya.

Normaliza turut menasihatkan mereka yang ingin berjinak-jinak dengan kerja kebajikan, perlu memahami apa pun perancangan dan mesti ada matlamat yang jelas.

Ini kerana kejelasan matlamat ini akan membantu untuk menjadikan sebarang program kebajikan menjadi kalis tekanan dan berterusan. Projek kebajikan sebenarnya tidak memerlukan modal yang banyak, hanya memerlukan semangat yang besar.

Bagi mereka yang ingin menghulur sumbangan dan mendapatkan makulmat lanjut boleh berbuat demikian dengan mengunjungi laman Facebook Projek KASEH4U.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 12:15 PM