BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis memburu tiga lelaki anggota 'Geng Topeng Hitam' yang aktif melakukan samun bersenjatakan parang sekitar Hulu Selangor sejak tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata semua suspek berusia antara 20 hingga 30-an itu dipercayai masih berada di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata dua anggota kumpulan berkenaan ditahan pada Jumaat lalu, selepas polis melancarkan operasi sekitar Serendah, Batang Kali, Ulu Yam dan Rawang.

"Suspek yang ditahan mendedahkan anggota kumpulan mereka yang lain dan mengaku terbabit dalam enam kes samun sekitar Hulu Selangor.

"Polis masih meneruskan operasi bagi memburu tiga lagi ahli kumpulan samun berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 9:38 PM