KETUA Polis Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong (tengah) menunjukkan barangan rampasan kes samun bersenjata di sekitar Menglembu pada sidang media di Balai Polis Pasir Putih, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
KETUA Polis Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong (tengah) menunjukkan barangan rampasan kes samun bersenjata di sekitar Menglembu pada sidang media di Balai Polis Pasir Putih, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Farah Suhaidah Othman


TIGA lelaki termasuk remaja yang menggelarkan diri mereka Geng Vijay ditahan di Sungai Siput, Khamis lalu, dipercayai terbabit dalam kes samun kedai serbaneka 24 jam sekitar Ipoh sejak Ogos lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia 17 hingga 19 tahun ditahan pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, pada 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata hasil risikan sebulan mendapati ketiga-tiga suspek menetap di Sungai Siput namun melakukan samun bersenjata di Ipoh.

Katanya, suspek menjalankan risikan bagi mengenal pasti sasaran kedai sebelum menyamun kedai serbaneka menggunakan parang pada tengah malam atau awal pagi.

“Penahanan ketiga-ketiga suspek menyelesaikan empat kes samun kedai serbaneka 24 jam di bandar ini yang kerugiannya dianggarkan kira-kira RM5,000.

“Antara barang yang dicuri adalah rokok dan wang tunai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan IPD, di Balai Polis Pasir Putih, hari ini.

Chang Keong berkata, hasil semakan mendapati suspek berusia 17 tahun memiliki satu rekod jenayah lampau membabitkan jenayah curi.

Katanya, seorang lagi berusia 18 tahun mempunyai dua jenayah lampau membabitkan kecurian dan rusuhan.

Menurutnya, seorang lagi suspek berusia 19 tahun mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kecurian dan mendatangkan cedera ketika samun bersenjata.

Beliau berkata, semua suspek direman tujuh hari bermula Khamis hingga esok untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 11:44 AM