ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO
ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BARU dua minggu dibebaskan dari penjara, lelaki sekali lagi ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan samun di sekitar Petaling Jaya, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek berusia 31 tahun terbabit ditahan di sekitar rumahnya dekat Taman Putra Damai Lembah Subang, bersama seorang jirannya yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan berkenaan.

“Dalam kejadian 17 September lalu, suspek yang memakai topi keledar menghampiri kaunter bayaran di sebuah stesen minyak terbabit sebelum mengarahkan juruwang menyerahkan wang dari mesin sambil mengacukan parang.

“Mangsa menyerahkan semua wang dari mesin terbabit kerana bimbang akan keselamatannya. Suspek beredar dengan menggunakan motosikal dan terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika kejadian,” katanya.

Mohd Zani berkata, soal siasat terhadap suspek mendapati kedua-dua mereka adalah jiran yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang dan sudah berkawan, sejak 12 tahun lalu.

“Seorang daripadanya baru saja dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada 13 September lalu dan mengakui melakukan samun di tiga lokasi iaitu Taman Seapark, Sungai Way dan Kampung Baru Subang sejak dibebaskan.

“Mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 9:51 AM