UQASHA Senrose
UQASHA Senrose

Kuala Lumpur : "Kalau tiada di tempat kejadian jangan memandai-mandai. Sudut dan sisi yang anda lihat kelihatan begitu (sangat rapat). Saya masih tahu batas."

Ini kata pelakon popular, Uqasha Senrose selepas dikecam teruk netizen apabila dikatakan bergambar terlalu rapat dengan pendakwah popular, Ustaz Azhar Idrus dalam satu hantaran di Instagram miliknya, semalam.

Menerusi perkongsian itu, Uqasha turut meminta individu yang menegurnya supaya melihat foto berkenaan dengan jelas dan tidak bercakap sebarangan.

"Cuba tengok betul-betul. Saya langsung tak rapat dengan ustaz. Tolong jangan nak main cakap saja," tulisnya di ruangan komen.

Dalam hantaran sama, suaminya yang juga pelakon, Kamal Adli turut tampil menjelaskan situasi sebenar mengenai foto yang dikatakan terlalu rapat antara Uqasha dan Azhar.

"Mohon yang lain bersabar. Kalau rapat sangat saya sendiri akan tegur dulu. Jangan mudah nak menaip saja, kalau rapat sangat sudah pasti ustaz dah lari. Sudahlah, hentikan semua ini," katanya.

Tidak berdiam diri selepas dikecam bertubi-tubi, Uqasha kemudian memuat naik hantaran gambar berbeza bagi mempertahankan dirinya yang tidak bergambar terlalu dekat dengan pendakwah itu.

"Ini (foto) dari sisi lain. Tak nak orang fitnah cakap saya nak rapat tak tentu fasal. Macam-macamlah manusia ini," tulisnya.

Menerusi perkongsian terbaharu itu, rata-rata netizen meminta Uqasha untuk bersabar dan tidak melayan segala hinaan yang dilemparkan kerana mereka tidak akan berhenti mencari salah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 11:10 AM