AIDIT Noh. FOTO Syaiful Raziq
AIDIT Noh. FOTO Syaiful Raziq
Norhayati Nordin

Petaling Jaya : Pelakon, Aidit Noh, 30, mengakui cabaran besar dihadapinya untuk melakonkan watak Zayn, seorang lelaki curang dalam drama terbaharu, Isteri Halal adalah isterinya sendiri, Nur Atiqah Hanani.

Ini berikutan isu kecurangan suami terhadap isteri begitu hangat dalam industri hiburan tanah air ketika ini yang membabitkan beberapa pasangan selebriti.

"Isteri saya juga ada mempersoalkan bagaimana mendalami watak itu yang memerlukan perasaan berikutan sebelum ini kami tahu berkaitan isu ada 'affair' atau hubungan sulit yang berlaku di set penggambaran.

"Saya memang jujur dengan isteri dan memberitahunya, kami berlakon secara profesional dan berpegang teguh dengan niat di hati hanya bekerja saja," katanya kepada Harian Metro.

Dalam drama arahan Uchee Fukada itu, Aidit berganding dengan Uqasha Senrose.

"Segala kemesraan saya bersama Uqasha hanya di set penggambaran saja dan tidak dibawa hingga keluar atau balik rumah," katanya yang mengakui watak Zayn sangat berat kerana perlu melakonkan babak intim dan mesra.

Aidit berkata, dia akan berbincang terlebih dulu dengan Uqasha dan pengarah terhadap babak mesra ingin dilakonkan mereka agar tidak melampaui batas kerana masing-masing sudah berkahwin.

"Malah, bagi menjaga dan menghormati status kami sebagai suami dan isteri orang, saya tidak menyimpan langsung nombor telefon Uqasha, apatah lagi pernah menghantar mesej WhatsApp kepadanya. Apabila di rumah, saya biasanya tak sentuh telefon langsung dan fokus kepada keluarga saja.

"Sebagai suami dan karier sebagai selebriti, saya sangat menjaga 'trust' (kepercayaan) isteri. Ini kerana naluri seorang isteri itu sangat kuat dan apabila kepercayaan diberikan sudah 'pecah', ia tak bermakna lagi. Walaupun masih hidup bersama, kebahagiaan itu pasti dah berubah. Saya perlu menjaga perkahwinan kami," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kecaman netizen termasuk teguran yang bakal diterima daripada agamawan, Aidit berkata, dia sudah mempersiapkan diri menghadapi segalanya.

"Saya tahu watak Zayn ini akan dikecam teruk oleh netizen kerana dia lelaki yang curang pada isterinya selepas hidup mewah. Ketika masih tiada apa-apa, Zayn boleh setia tetapi apabila sudah berharta, dia hanyut dalam kehidupannya.

"Ini juga bukan sekadar kisah dalam drama, tapi watak Zayn adalah realiti sebenar yang wujud dalam masyarakat. Saya akan menerima semua kecaman diberi dengan baik, termasuk teguran daripada agamawan yang akan muncul selepas drama Isteri Halal ini ditayangkan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 11:41 AM