AHLI JVOG bergambar ketika mengadakan hari keluarga.
AHLI JVOG bergambar ketika mengadakan hari keluarga.
Oleh Shaiffulazhar Misri


Walaupun sederhana, tetapi meriah. Kehadiran pemilik motosikal Johor Versys Owner Group menceriakan Hari Keluarga JVOG diadakan di Kem Latihan Zaaba, Parit Pinang Seribu Laut, Muar, Johor, baru-baru ini.

Biarpun ia hari keluarga JVOG yang pertama diadakan sejak kelab itu ditubuhkan pada 2013, ahlinya menuntut ia dijadikan aktiviti tahunan bagi mengeratkan silaturahim dalam suasana penuh kekeluargaan dan setia kawan.

Presiden JVOG, Othman Hussain berkata, perkenalan singkat tanpa dirancang hasil daripada pertemuan di pusat servis motosikal di Johor Bahru pada 2013 mencetuskan idea penubuhan Johor Versys Owner Group (JVOG).

Bermula dengan tukar nombor telefon dan berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), pengenalan itu dipanjangkan menerusi penubuhan kumpulan WhatsApp untuk mengumpulkan pemilik motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Versys di Johor.

Katanya, pertemuan yang berlaku secara tidak sengaja itu berjaya menyatukan pemilik Kawasaki Versys di seluruh Johor dan sehingga kini mencecah kira-kira 150 orang.

Bahkan 2015 mencatat sejarah baru apabila JVOG secara rasminya didaftarkan menerusi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada Disember lalu selepas mengambil kira keperluan penubuhannya.

“Tujuan kami menubuhkan kelab ini adalah untuk menyatukan pemilik Kawasaki Versys di seluruh Johor. Namun, ada juga rakan dari Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka yang turut serta dengan pelbagai aktiviti dianjurkan kelab ini,” katanya.

Othman berkata, melalui kelab JVOG, mereka boleh berkenalan tanpa mengira umur dan latar belakang selain banyak aktiviti menarik yang disusun atur secara sistematik.

“Setakat ini, ahli ber­usia dari 25 hingga 45 tahun berdaftar sebagai ahli, malah kami menggalakkan penyertaan generasi muda untuk bercampur dengan golongan lebih senior bagi menimba pengalaman bersama keluarga besar.

“Kesempatan berkumpul di hari keluarga JVOG digunakan sepenuhnya oleh ahli untuk berkenalan dengan lebih dekat kerana selama ini ada yang berhubung menerusi WhatsApp sahaja.

“Malah, kami turut menyelitkan program keagamaan termasuk bersolat berjemaah, majlis doa selamat serta makan malam, cabutan bertuah, senamrobik, sukaneka dan sesi suai kenal antara ahli JVOG yang menetap di luar Johor,” katanya sambil menyifatkan matlamat program hari keluarga berkenaan tercapai.

Menurutnya, ahli JVOG turut berbesar hati apabila aktiviti menerima sokongan dan tajaan daripada pihak tertentu seperti LJ Apparels Sdn Bhd iaitu pengeluar pakaian jenama Lanun Johor, AG Superbike serta orang perseorangan.

Dalam pada itu katanya, ahli juga akan menganjurkan dua aktiviti utama pada tahun ini iaitu ‘JVOG Peninsular Campaign Ride (PCR) 2.0’ dan Kembara Muhibah.

Katanya, JVOG PCR 2.0 adalah rentetan kejayaan PCR 2015 yang menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia membabitkan perjalanan kira-kira 2,000 kilometer dan tahun ini program tangungjawab sosial itu akan memulakan misi bermula dari Johor Bahru menuju ke Padang Besar, Perlis.

Sementara itu, ahli JVOG termuda, Arshad Musa, 26, berkata, dia menyertai kelab itu tiga tahun lalu dan menghadiri program perhimpunan yang pertama di Pendas, Pelabuhan Tanjung Pelapas, Johor Bahru.

“Ketika itu saya baru memiliki motosikal ini, selain mahu mencari rakan yang mempunyai minat sama,” katanya.

Manakala pesara Pos Malaysia, Abdul Rahman Hassan, 59, menyifatkan kelab JVOG antara kelab bermotosikal yang mempunyai perancangan teratur dan semangat kerjasama berbanding kelab pernah disertainya.

“Dalam menyertai sesebuah kelab, apa yang paling penting ialah aktiviti bermanfaat dijalankan dan tentunya ia memerlukan perancangan rapi dan teliti.

“Saya melihat di dalam JVOG, semua itu ada bagi saya sebagai ahli yang paling tua, ahli JVOG mempunyai sifat hormat antara satu sama lain dan sering bermuzakarah untuk melakukan sesuatu aktiviti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:01 AM