myMetro

Johor Bahru: Kumpulan Pemilik Kawasaki Versys Johor (JVOG) melaksanakan tanggungjawab sosial dengan mengadakan kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan berhampiran stesen minyak di Tol Skudai di sini, kelmarin.

Lebih 500 risalah berhubung tip keselamatan jalan raya diedarkan kepada pengguna lebuh raya sempena Kempen Pulang Beraya Dengan Selamat yang dianjurkan kelab pemilik motosikal berkuasa tinggi itu.

Setiausaha JVOG Ali Qushairy Abu Kassim, 34, berkata, kempen kali kedua dilaksanakan kelab itu bertujuan memberi pendedahan kepada pengguna jalan raya berhubung tip keselamatan sepanjang pemanduan ke destinasi masing-masing.

Katanya, sebagai sebuah kelab pemotoran, JVOG berasakan menjadi tanggungjawabnya untuk memupuk kesedaran orang ramai berkaitan keselamatan di jalan raya terutama ketika musim perayaan.

“Kami juga berharap pengguna jalan raya lebih berhati-hati demi insan tersayang dengan mematuhi peraturan jalan raya dan mengelak daripada melakukan tindakan yang membahayakan diri serta pengguna jalan raya lain.

“Kempen ini adalah satu peranan kecil kami dalam membantu kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ketika musim perayaan,” katanya.

Ali berkata, kempen kali ini turut diserikan dengan agihan 500 pek berbuka puasa #HMKotakRezeki2017 kepada pengguna jalan raya yang disediakan Harian Metro.

“Aktiviti yang mendapat kerjasama Restoran Dulang Lima ini turut menjadi landasan kepada ahli JVOG untuk berbakti kepada masyarakat dan mengeratkan silaturahim sesama mereka,” katanya.

Agihan risalah dan Kotak Rezeki bermula jam 4.30 petang turut dihadiri Ketua Biro Harian Metro Johor Rudy Fazrunisyam Samarudin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 10:09 AM
ANGGOTA kumpulan JVOG mengedarkan risalah dan pek berbuka puasa kepada orang ramai.
ANGGOTA kumpulan JVOG mengedarkan risalah dan pek berbuka puasa kepada orang ramai.