Norasikin Daineh

Tawau: Sekurang-kurangnya 80 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Airport Lama, dekat sini, pada 9.30 pagi, hari ini.

Kejadian itu menyebabkan hampir 500 penduduk tinggal sehelai sepinggang apabila api dipercayai merebak dengan pantas.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau, Ismadi Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.41 pagi mengenai kejadian itu.

"Dua puluh tujuh pegawai dan anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian bersama enam jentera serta kenderaan pelbagai guna untuk memadam ‎kebakaran.

"Bomba tiba pada 9.44 pagi. Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dan mendapati kira-kira 80 rumah terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Ismadi berkata, bomba mengalami kesukaran mendapatkan bekalan air memandangkan kawasan kampung terbabit adalah penempatan setinggan dan tiada sistem air yang sempurna.

"Mujur terdapat bekalan air dari masjid dan sekolah berhampiran selain sumber air terbuka di kawasan taman rekreasi yang berdekatan bagi melancarkan operasi memadamkan kebakaran.

"Api berjaya dikawal pada 11.10 pagi. Bagaimanapun, tidak sepenuhnya," katanya.

Terdahulu, beberapa agensi lain turut terbabit dalam operasi ini termasuk pihak polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lain-lain agensi yang berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 12:46 PM
FOTO Norasikin Daineh
FOTO Norasikin Daineh