PASUKAN atlet menembak Pahang yang akan beraksi pada SUKMA Sarawak.
PASUKAN atlet menembak Pahang yang akan beraksi pada SUKMA Sarawak.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Selaku juara bertahan acara menembak, Pahang meletakkan sasaran meraih sekurang-kurangnya lima emas pada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016 yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 31 Julai.

Pada SUKMA Perlis 2014, pasukan itu merangkul 10 emas, tiga perak dan empat gangsa. Kemuncak kehebatan pasukan pantai timur itu adalah SUKMA Pahang 2012 apabila meraih 20 emas, lapan perak dan dua gangsa.

Pengurus pasukan, Azhar Mat Kasim berkata, seramai 39 atlet akan menggalas cabaran Pahang pada SUKMA Sarawak dan mereka akan menyertai semua 26 acara individu serta berpasukan yang dipertandingkan.

Katanya, kelibat 11 penembak terbaik dalam acara pistol dan raifal menjadi sandaran kuat Pahang mempertahankan kejuaraan di SUKMA Perlis 2014.

Katanya, dalam acara pistol sekali lagi harapan digalas penembak muda kebangsaan, Low Wei Chern untuk mengulangi pencapaian cemerlang meraih empat emas dan satu gangsa dua tahun lalu.

“Dalam acara raifal, sandaran diletakkan pada Muhamad Nazirul Azhar yang meraih satu emas dan satu perak kategori berpasukan di Perlis. Untuk SUKMA Sarawak dia akan beraksi dalam kategori individu serta berpasukan,” katanya.

Azhar berkata, semangat tinggi penembak yang menjalani latihan sepanjang tahun selain menyertai 10 kejohanan jemputan dalam dan luar negara tahun lalu menambahkan lagi kemahiran mereka.

Jurulatih acara raifal Mohd Noor Azli Nasir berkata, semangat penembak Pahang kini berada di kemuncak dalam usaha mempertahankan kejuaraan disandang sebelum ini.

Menurutnya, semua penembak berjanji memberikan persembahan terbaik bagi merangkul kejuaraan kali kedua dan pengalaman bersaing di pentas antarabangsa diharap menjadi kelebihan kepada mereka.

“Pasukan menembak Pahang baru pulang daripada menyertai kejohanan menembak Asia di Indonesia. Walaupun mendapat tentangan sengit namun kita tetap berjaya membawa pulang dua perak dan satu gangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 10:04 AM