JIN (kiri) bersama pelajarnya di Masjid Wuzhong.
JIN (kiri) bersama pelajarnya di Masjid Wuzhong.

Yinchuan: Jumlah guru atau pakar rujuk agama Islam dalam kalangan wanita di China semakin meningkat, terutama di wilayah autonomi Ningxia Hui.

Selepas berjaya mengatasi tabu dan halangan tradisi, mereka kini mendapat tempat dalam kalangan penduduk setempat, terutama golongan wanita.

Melalui proses pembelajaran khusus serta menduduki peperiksaan, lebih 80 guru agama wanita diberi tauliah oleh kerajaan untuk melakukan kerja dakwah di masjid.

Antara aktiviti mereka - yang dikenali penduduk setempat sebagai ahong - ialah mengimami solat, mengajar al-Quran dan perkhidmatan keagamaan lain.

Ahong juga berperanan menjadi orang tengah dalam pertikaian rumah tangga.

Seorang daripada mereka ialah Jin Meihua, 50, yang memulakan harinya menjelang jam lima pagi dengan membaca al-Quran di rumahnya di Wuzhong.

Selepas menyediakan sarapan untuk keluarga, Jin berjalan ke masjid yang terletak hanya beberapa minit dari rumahnya untuk mengajar kelas al-Quran kepada puluhan wanita.

Sepanjang kelas selama dua jam itu, Jin juga mendedahkan mereka kepada ilmu lain dalam Islam.

“Inilah rutin saya sejak 18 tahun lalu,” katanya.

Ketika ini ada lebih 3,760 masjid berdaftar dan 8,000 imam di wilayah Ningxia Hui.

Daripada jumlah itu, lebih 80 adalah wanita.

Mereka berkhidmat kepada kira-kira 2.32 juta Muslim atau satu pertiga daripada keseluruhan penduduk yang menetap di wilayah berkenaan.

Menceritakan pengalamannya, Jin berkata, dia berazam menjadi ahong ketika berusia 30 tahun.

“Biasanya wanita di sini berkahwin muda dan selepas bergelar isteri, mereka tidak berpeluang mendapat pendidikan lanjut.

“Mereka juga tidak dibenarkan ke masjid untuk bersolat.

“Melihat keadaan itu, saya berazam untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik,” katanya.

Lahir pada 1964, Jin terpaksa melupakan pembelajaran selepas menamatkan sekolah menengah kerana kemiskinan.

Ketika berusia 18 tahun, dia dikahwinkan dan membesarkan tiga anak sebelum berusia 30 tahun.

Bagi Ma Guixia, mengajar bahasa Arab dan al-Quran adalah tugas mencabar.

Mengendalikan lebih 40 pelajar, Ma berkata, masa sekurang-kurangnya dua tahun diperlukan untuk seseorang mahir membaca al-Quran.

“Walaupun begitu, wanita setempat mengakui ia memberi banyak manfaat,” katanya.

Imam Masjid Lama Wuzhong, Wang Jinyu berkata, ahong terbukti banyak membantu meningkatkan kualiti hidup beragama wanita etnik Hui.

“Ahong membolehkan Muslimah berkomunikasi lebih mudah berbanding imam lelaki,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:03 AM