SYARIKAT tempatan berpeluang merebut kontrak ditawarkan kerajaan luar.
SYARIKAT tempatan berpeluang merebut kontrak ditawarkan kerajaan luar.
BERNAMA

Kangar: Malaysia akan terlepas banyak peluang untuk merapatkan jurang kemajuan serta sukar mencapai status negara maju berpendapatan tinggi jika memilih untuk menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, menerusi TPPA, negara dijangka menerima pelaburan tambahan sebanyak AS$136 bilion (RM594.32 bilion) hingga AS$239 bilion (RM1.04 trilion).

Katanya, selain itu, lebih dua juta peluang pekerjaan dapat diwujudkan menjelang tahun 2027, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Pelaburan ini mampu mencipta pasaran dan perniagaan lebih meluas. Jika pasaran dalam negara kecil seperti Malaysia tidak cukup, kita harus menerima pembaharuan agar perniagaan kita terus berkembang.

“Kerajaan merasakan amat penting untuk merebut peluang yang menjadi batu loncatan kepada hala tuju negara demi meningkatkan ekonomi rakyat dan negara,” katanya ketika menyampaikan taklimat TPPA peringkat negeri Perlis di Dewan 2020 di sini, semalam.

Mustapa berkata, Malaysia juga akan kehilangan banyak peluang perdagangan dan pelaburan jika memilih untuk menolak TPPA.

“Sebaliknya, Singapura dan Vietnam yang menyertai TPPA akan dapat menarik lebih banyak perdagangan dan pelaburan asing ke negara mereka.

“Ini menyebabkan Malaysia akan beransur-ansur ketinggalan dan menyebabkan jurang kemajuan kita dengan mereka semakin luas kerana TPPA memberi manfaat terhadap pembangunan sesebuah negara dalam pelbagai aspek termasuk peningkatan pasaran, pembangunan dasar dan kecanggihan teknologi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar menimbangkan setiap maklumat TPPA dan menolak andaian tidak berasaskan fakta yang bertujuan menakutkan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 6:47 AM