Murni Wan Omar


Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, menolak rayuan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan dua lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mencabar tindakan Kerajaan Malaysia berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rohana Yusuf dalam keputusan sebulat suara menolak permohonan itu selepas mendapati TPPA tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keputusan itu, mahkamah mengambil maklum bahawa polisi kerajaan dibentuk selepas mengambil kira faktor teknikal yang tidak bersifat undang-undang di mana hakim tidak mempunyai maklumat serta kepakaran bagi membuat penilaian serta membuat keputusan.

Turut bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Pada 12 Jan tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak memberi kebenaran kepada ABIM, Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas Malaysia) dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Melayu Malaysia (TERAS) untuk memohon semakan kehakiman dalam usaha mereka menghalang kerajaan menandatangani TPPA.

Mahkamah juga memutuskan bahawa permohonan itu bersifat akademik apabila TPPA ditandatangani 4 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 11:39 AM