MUSTAPA
MUSTAPA
Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

Kota Bharu: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed yakin pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak akan mengganggu kuasa sultan dan kerajaan negeri.

Katanya, ia termasuk kuasa dalam hal berkaitan peraturan, penggubalan selain dasar Islam yang diamal negara, termasuk di Kelantan.

Beliau berkata, keadaan itu menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa TPPA akan membubarkan peraturan menghentikan perniagaan pada waktu solat Jumaat.

“Semua peraturan itu akan ditentukan kerajaan negeri sama ada peniaga diberi kebenaran untuk menjalankan perniagaan pada waktu tertentu atau sebaliknya, kerana ia tidak termaktub dalam TPPA.

“Brunei juga antara 12 negara terbabit dalam perjanjian itu dan ia adalah negara Islam. Kita tidak akan setuju dengan sesuatu yang boleh menjejaskan kedudukan Islam di Malaysia mahupun Brunei.

“Jadi saya mahu pihak berkenaan baca dan fahami TPPA ini kerana kita bimbang jika fitnah ini tersebar luas, ia akan menjejaskan negara kita sendiri,” katanya dalam sidang media selepas sesi penerangan TPPA bersama 500 guru di seluruh negeri di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), di sini, semalam.

Mustapa turut memberi jaminan Malaysia tidak akan ‘dijual’ kepada Amerika Syarikat seperti didakwa pihak tertentu sekiranya TPPA dilaksana.

“Kita ada jati diri dan Perlembagaan, jadi tuduhan itu tidak berasas. Tambahan pula, menerusi TPPA ini, syarikat Malaysia sudah mempunyai pelaburan RM600 bilion di luar negara berbanding pelaburan asing sebanyak RM500 bilion di negara kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 8:09 AM