MUSTAPA (sembilan dari kanan)  bersama pelajar dan rakyat Malaysia di hadapan restoran  Malaysia PappaRich di Los Angeles.
MUSTAPA (sembilan dari kanan) bersama pelajar dan rakyat Malaysia di hadapan restoran Malaysia PappaRich di Los Angeles.
Daripada Abdul Jalil Hamid di Sunnylands dan California


Sunnylands: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed bukannya seorang yang suka membuang masa.

Beliau terus bekerja sebaik saja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles semalam (Ahad di LA) selepas 16 jam perjalanan dari Kuala Lumpur (tidak termasuk transit di Hong Kong) dengan melawat restoran Malaysia, PappaRich di situ.

Ia adalah cawangan pertama restoran berkenaan di Amerika Syarikat (AS) yang dibuka di bandar raya kedua terbesar di AS dengan populasi 3.8 juta penduduk pada akhir tahun lalu. Cawangan kedua Restoran PappaRich akan dibuka di New York minggu ini.

Mustapa atau ‘Tok Pa’ menikmati masakan PappaRich di situ kerana beliau mengadakan perbincangan dengan beberapa ahli perniagaan Malaysia yang berada di Los Angeles yang mana disifatkannya sebagai mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing di AS dan Kanada.

Beliau berkata, pelaburan luar negara dan perdagangan Malaysia semakin meningkat dan boleh berkembang selanjutnya dengan pelancaran Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dengan Malaysia adalah antara 12 negara yang menandatanganinya.

“Mesej lain adalah bahawa jenama Malaysia boleh menjadi jenama global,” katanya sambil mendedahkan bahawa PappaRich kini mempunyai 119 cawangan, termasuk 36 di Australia dan negara lain.

Contoh lain dikemukakan beliau ialah Top Glove Corporation Bhd, pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia yang mengeksport 30 peratus produknya ke AS dan Kanada.

Mustapa berkata, duti import AS untuk sarung tangan getah dari Malaysia akan dihapuskan di bawah TPPA.

“Dengan TPPA, pasaran Amerika adalah penting untuk Malaysia terutama bagi tiga sektor iaitu elektrik dan elektronik, tekstil dan produk getah kerana kebanyakan tarif dihapuskan,” katanya.

Mustapa akan mempunyai minggu yang sibuk sepanjang lawatan ini ke California. Beliau adalah antara dua menteri yang mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN khas di sini pada Isnin dan Selasa yang dihoskan Presiden AS, Barack Obama. Satu lagi menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Selepas sidang kemuncak itu, Mustapa kemudiannya akan menyertai sembilan Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) yang lain untuk pameran bergerak pelaburan di San Francisco dan Lembah Silikon, California, pada 17 dan 18 Februari.

Ia adalah pameran bergerak AEM ketiga ke AS sejak 2010. Pada pameran bergerak dua hari itu, Menteri ASEAN akan bertemu dengan Wakil Perdagangan AS, Michael Froman untuk membincangkan isu perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara ASEAN dan AS.

Pelaburan AS di ASEAN berjumlah AS$13 bilion atau 10 peratus daripada jumlah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada 2014. AS adalah sumber FDI ketiga terbesar ASEAN pada 2014. Jumlah perdagangan AS-ASEAN adalah AS$212.4 bilion pada 2014 atau 8.4 peratus daripada jumlah perdagangan global ASEAN dan kira-kira 10 peratus eksport ASEAN adalah ke AS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 6:52 AM