Adenan  pada sesi penerangan TPPA di bangunan Wisma Bapa Malaysia Petra Jaya.
Adenan pada sesi penerangan TPPA di bangunan Wisma Bapa Malaysia Petra Jaya.

Petra Jaya: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, menyatakan persetujuan kerajaan negeri untuk menyokong penuh pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) selepas mengambil kira implikasi positif jangka panjang terhadap ekonomi Sarawak.

Menurutnya, setiap negara di dunia kini mahukan pelaksanaan sistem penarafan global itu dan Malaysia harus turut serta kerana jika tidak melaksanakannya, negara dikhuatiri akan ketinggalan berbanding negara serantau.

Justeru, beliau menggesa pelaksanaan perjanjian itu dan cadangan mengenainya bakal dibentangkan di Parlimen hujung bulan depan perlu dilihat dalam konteks positif terutama keupayaannya dalam memacu pertumbuhan ekonomi serantau.

“Dalam sebuah masyarakat yang terbuka, TPPA membuka pasaran dan memberi kelebihan daya saing kepada ekonomi kita. Kita tidak ada pilihan dan saya rasa TPPA adalah pilihan terbaik untuk mengembangkan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengikuti taklimat pelaksanaan perjanjian itu disampaikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed kepada anggota Kabinet Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

Adenan yakin selain mengembangkan lagi ekonomi, Kerajaan Pusat juga akan memastikan kepentingan Bumiputera negeri ini dilindungi dalam pelaksanaan TPPA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:15 AM