SERAMAI sembilan kru warga Indonesia berdepan detik cemas apabila bot 'barter trade' yang dinaiki dimasuki air dan hampir tenggelam. FOTO ihsan APMM JOHOR
SERAMAI sembilan kru warga Indonesia berdepan detik cemas apabila bot 'barter trade' yang dinaiki dimasuki air dan hampir tenggelam. FOTO ihsan APMM JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Sembilan kru warga Indonesia berdepan detik cemas apabila bot 'barter trade' dinaiki mereka hampir tenggelam selepas dimasuki air di perairan Tanjung Pungai, di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat menerusi Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) pada 11 pagi.

Menurutnya, bot yang dikendalikan sembilan kru berusia 19 hingga 48 tahun itu sedang dalam pelayaran membawa muatan menuju ke Pulau Natuna, Indonesia dari Singapura.

"Bot 'barter trade' itu berdepan cuaca buruk sebelum diselamatkan bot ronda Perkasa 30 milik APMM.

"Kesemua kru bot yang diselamatkan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili bagi urusan penyerahan kepada Konsulat Indonesia di Johor Bahru," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, komuniti maritim dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan memakai jaket keselamatan sewaktu berhadapan cuaca buruk di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 2:13 PM