RONALDO antara bintang yang menjadi tumpuan di La Liga.
RONALDO antara bintang yang menjadi tumpuan di La Liga.

Madrid: Jawatankuasa pertandingan Sepanyol mengarahkan La Liga untuk menyerahkan ringkasan setiap perlawanan selama 90 saat kepada semua stesen televisyen selain memberikan kebenaran kepada semua stesen untuk memasuki stadium.

Jawatankuasa Pemasaran dan Pertandingan Kebangsaan atau lebih dikenali sebagai CNMC berkata, keputusan itu dibuat berikutan aduan yang difailkan stesen penyiaran Mediaset Sepanyol kepada Liga Bolasepak Profesional (LFP) berhubung larangan terhadap media daripada memasuki stadium ketika perlawanan liga utama.

Undang-undang penyiaran Sepanyol menetapkan pemegang hak penyiaran televisyen perlu menyerahkan ringkasan perlawanan selama 90 saat kepada badan penyiar lain.

Pegangan ke atas hak bola sepak meningkat disebabkan perjanjian bernilai berbilion euro selepas ia menampilkan dua pemain terbaik dunia, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

LFP yang menjual hak penyiaran kepada TVE berkata, keputusan itu bermakna pihaknya perlu memberikan ringkasan setiap perlawanan selama 90 saat dan Mediaset yang memiliki saluran Telecinco dan Cuatro, membuat bantahan kerana mereka perlu membuat liputan ke atas semua perlawanan dan enggan menandatangani borang permohonan kad akreditasi untuk memasuki stadium.

Mediaset yang juga anak syarikat kepada empayar media milik jutawan Itali Silvio Berlusconi, melaporkan hal berkenaan kepada CNMC, September lalu.

Peraturan CNMC menyebut ‘peraturan itu tidak boleh dilanggar kerana berkaitan dengan keperluan sosial sukan profesional’ di Sepanyol. Namun ia juga menegaskan saluran yang menjadi pesaing kepada TVE hanya boleh menyiarkan klip perlawanan itu sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam.

LFP menjual hak penyiaran musim 2016/17 dan 2018/19 dengan harga 2.95 bilion euro (RM14 bilion).
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 7:09 AM