Ketua Unit Perihal Dagangan KPDNKK Ridzuan Mat Isa (kiri) dan Pembantu Hal Ehwal Islam Bahagian Pengurusan Halal, Nur Azam Che Kob menunjukkan tanda halal di luar restoran. - ZULAIKHA ZAINUZMAN
Ketua Unit Perihal Dagangan KPDNKK Ridzuan Mat Isa (kiri) dan Pembantu Hal Ehwal Islam Bahagian Pengurusan Halal, Nur Azam Che Kob menunjukkan tanda halal di luar restoran. - ZULAIKHA ZAINUZMAN

Georgetown: Sebuah restoran makanan laut terkemuka di Persiaran Gurney di sini, menggunakan logo halal tidak sah, dipercayai bagi menarik pelanggan beragama Islam.

Penggunaan logo halal yang bukan dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dikesan ketika pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Jakim hari ini.

"Pemeriksaan dibuat setelah mendapat aduan orang ramai mengenai penggunaan logo halal yang meragukan," kata Ketua Unit Perihal Dagangan KPDNKK, Ridzuan Md Isa.

Beliau berkata, selain logo halal tidak sah, restoran berkenaan juga meletakkan minuman keras dan minuman ringan dalam peti sejuk yang sama.

Beliau berkata pemilik premis akan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan kompaun akan diberikan selepas mendapat keterangan pemilik premis itu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua premis perniagaan di Pulau Pinang menurunkan logo halal yang tidak mendapat kebenaran Jakim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 8:43 PM