ZULFAMY (kanan) bersama pegawai JHEAT dan Jabatan Kesihatan Negeri melakukan pemeriksaan ke atas restoran yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
ZULFAMY (kanan) bersama pegawai JHEAT dan Jabatan Kesihatan Negeri melakukan pemeriksaan ke atas restoran yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
AhmadRabiul Zulkifli


SEBUAH restoran mamak terkenal di Kuala Terengganu bakal berhadapan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta jika sabit kesalahan berikutan premis perniagaan itu gagal mempamerkan tanda logo halal sah.

Restoran beroperasi lebih 10 tahun itu didapati melakukan kesalahan memperdayakan atau mengelirukan mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (perakuan dan penandaan halal) 2011.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, pihaknya bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) serta Jabatan Kesihatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis itu dan mendapati pengusaha gagal menunjukkan sebarang sijil halal.

“Pemeriksaan dijalankan di bahagian hadapan dan belakang kedai itu seterusnya menemui logo halal dilekatkan pada sebuah peti di dapur.

“Kami dapati peti itu digunakan untuk meletakkan bahan sejuk beku dan logo halal pada peti itu menimbulkan keraguan serta menjadi kesalahan kerana ia digunakan tanpa kebenaran.

“Logo halal itu tidak mempunyai sebarang kelulusan daripada JHEAT justeru ia termasuk dalam kesalahan mengikut Seksyen 16 (A),” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati pemilik restoran itu beragama Islam dan pekerja daripada orang Islam, justeru ayat suci al-Quran yang digantung di dinding bersebab dan tidak disalah guna.

Katanya, pihaknya difahamkan pemilik tidak pernah memohon sijil dan logo halal daripada JHEAT, namun mereka berjanji akan berbuat demikian secepat mungkin.

“Kami sentiasa menjalankan pemeriksaan secara berkala di semua premis makanan termasuk di 17 restoran mamak di negeri ini.

“Sehingga kini sebanyak tujuh restoran mamak sudah diperiksa dan selebihnya akan dijalankan secara berperingkat.

“Pemeriksaan bertujuan melihat pematuhan terhadap perintah perihal dagangan dan penggunaan logo halal di kedai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 7:21 PM